Masyarakat setempat dari pelbagai bangsa turut mengambil peluang untuk merasai perarakan tanglung yang menjadi kemuncak acara penganjuran 'Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung' pada 26 September 2026.
KUALA TERENGGANU – Elemen sains dijadikan medium untuk memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda menerusi program Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung anjuran Persatuan Huang Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), baru-baru ini.
Presidennya, Wee Pit Beng berkata, pendekatan itu dipilih bagi menarik minat golongan muda mengenali budaya dan susur galur masyarakat mereka menerusi kaedah yang lebih dekat dengan kehidupan hari ini.



Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada usaha memelihara warisan budaya masyarakat Cina, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk mengenali dan memahami tradisi tersebut dengan lebih dekat.
“Pendekatan berbeza pada tahun ini adalah dengan menggunakan elemen sains sebagai medium untuk mendekati generasi muda dalam usaha memperkenalkan mereka kepada warisan budaya dan susur galur mereka sendiri.
“Sebagai contoh, tanglung merupakan antara simbol penting dalam kebudayaan kami, namun di sebaliknya terdapat pelbagai aspek sains yang menarik untuk diterokai bersama. Begitu juga dengan aktiviti pencerapan bulan yang mempunyai hubungan rapat dengan tradisi masyarakat Cina dan boleh dijelaskan melalui perspektif saintifik,” katanya.

Usaha tersebut turut mendapat sokongan PSKT yang mengamalkan dasar pintu terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin memanfaatkan fasiliti pusat itu bagi program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Operasi PSKT, Hilman Hajijan berkata, penganjuran berkenaan membuka dimensi baharu terhadap fungsi pusat sains yang bukan sekadar memfokuskan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), tetapi turut berperanan sebagai platform mengangkat nilai budaya dan kemasyarakatan.
“Penganjuran ini membuktikan bahawa pusat sains di sini bukan hanya tempat untuk mempelajari STEM semata-mata, malah mampu menjadi ruang yang menghubungkan ilmu pengetahuan dengan warisan budaya serta nilai masyarakat yang perlu terus dipelihara dan diraikan bersama.

“Kami sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup program berkenaan.
Program berkenaan tidak hanya tertumpu kepada perarakan tanglung dan aktiviti pencerapan bulan sebagai acara utama, malah turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi termasuk pertandingan Pesona Cilik Fesyen Cina, pertandingan memasak Citarasa Mek Awang, sesi merasa kuih bulan dan persembahan kesenian. Penganjuran pelbagai acara itu berjaya menarik penyertaan masyarakat berbilang usia yang hadir memeriahkan program bersama keluarga. – DETIK MALAYSIA
