KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membantah cadangan penganjuran konsert penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton bersama Israel & New Breed yang dilaporkan dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 22 hingga 25 Oktober ini.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendirian itu dibuat atas dasar solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Palestin selain pendirian Malaysia yang menolak normalisasi terhadap Israel ketika rakyat Palestin terus berdepan konflik, kemusnahan dan penderitaan kemanusiaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan Bernama, konsert berkenaan dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi di Kota Kinabalu.
Katanya, pada 28 September lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan penganjur ketika itu masih belum mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri.
“PDRM Sabah menyatakan bahawa berdasarkan sensitiviti semasa, pihaknya akan menasihatkan supaya konsert tersebut ditangguhkan sekiranya pandangan rasmi diminta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan bantahan berkenaan bukan ditujukan terhadap agama Kristian, penganut Kristian, muzik gospel atau hak masyarakat Kristian untuk menjalankan kegiatan keagamaan.
Sebaliknya, kata beliau, persoalan yang dibangkitkan adalah berkaitan pendirian awam artis berkenaan terhadap Israel serta kesesuaian penganjuran acara membabitkan beliau ketika sensitiviti kemanusiaan mengenai Palestin masih tinggi.
“Ini bukan isu agama, tetapi isu kemanusiaan dan tanggungjawab moral.
“Kebebasan beragama tidak bermaksud masyarakat tidak boleh menyatakan bantahan terhadap pendirian politik seseorang tokoh awam,” katanya.
Mohd Azmi berkata, menurut PDRM Sabah, Israel Houghton pernah membuat hantaran di media sosial pada 8 Oktober 2023 yang dinyatakan sebagai menunjukkan sokongan terhadap Israel.
“Perkara tersebut menjadi antara faktor sensitiviti masyarakat terhadap penganjuran konsert beliau pada ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru kerajaan negeri Sabah dan pihak berkuasa Persekutuan menilai perkara tersebut bukan semata-mata berdasarkan soal teknikal permit, sebaliknya mengambil kira sensitiviti masyarakat, keselamatan, hubungan antara agama, pendirian Malaysia terhadap Palestin serta implikasi normalisasi terhadap Israel.
MAPIM turut menggesa kerajaan negeri Sabah mempertimbangkan penangguhan atau semakan semula penganjuran konsert berkenaan sehingga persoalan berkaitan kelulusan, keselamatan, sensitiviti masyarakat dan pendirian awam artis terhadap Israel dinilai secara menyeluruh.
Pada masa sama, MAPIM meminta PDRM dan pihak berkuasa berkaitan menyediakan penilaian risiko yang jelas, manakala penganjur disaran memberikan penjelasan terbuka mengenai tujuan acara, bentuk program serta status kelulusan.
“MAPIM menolak sebarang usaha menggambarkan solidariti Palestin sebagai permusuhan terhadap Kristian.
“Ramai penganut Kristian di seluruh dunia sendiri bersolidariti dengan rakyat Palestin. Palestin ialah isu kemanusiaan yang merentas agama,” katanya.
MAPIM turut menegaskan bantahan hendaklah dilakukan secara aman, beradab dan melalui saluran undang-undang tanpa sebarang tindakan kekerasan, gangguan atau ancaman terhadap penganjur, artis atau mana-mana individu.
Menurut Mohd Azmi, solidariti terhadap Palestin perlu diterjemahkan secara konsisten dan tidak sekadar menjadi simbol.
“Kita menolak kebencian terhadap mana-mana agama, antisemitisme, Islamofobia dan diskriminasi terhadap penganut Kristian.
“Pada masa sama, kita juga mempunyai hak untuk menolak pendudukan, menolak penindasan, menolak normalisasi terhadap dasar yang menafikan hak rakyat Palestin dan berdiri bersama mangsa yang memerlukan keadilan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – EPA
