JAKARTA – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Vietnam sebagai peluang kedua buat skuad negara menutup kempen dengan keputusan positif.
Cheng Hoe berkata, anak buahnya mahu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung esok selepas terlepas peluang beraksi di final.
“Esok adalah perlawanan penentuan tempat ketiga. Sudah tentu sebagai jurulatih dan pasukan, kami mahu mencapai sesuatu, mahu melakukannya dengan baik dan meneruskan momentum positif,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya menghormati Vietnam yang disifatkannya sebagai pasukan berkualiti dan berbahaya.
“Kami perlu menghormati Vietnam. Kami tahu mereka hadir dengan pasukan yang kuat dan mereka adalah antara pasukan terbaik di Asia Selatan.
“Sudah tentu perlawanan esok adalah berbeza. Ia pertandingan yang berbeza dan situasi yang berbeza. Harapnya kami bersedia, berada dalam mood, suasana dan semangat yang baik untuk menentang Vietnam,” katanya.
Mengulas keadaan fizikal pemain selepas mengharungi tiga perlawanan sengit, Cheng Hoe berkata proses pemulihan masih menjadi keutamaan sebelum perlawanan terakhir itu.
“Kami masih dalam tempoh pemulihan selepas bermain tiga perlawanan sukar. Kami memerlukan persediaan pemulihan yang baik dan pada masa sama pemain perlu berada dalam momentum serta fokus yang baik untuk perlawanan esok,” katanya.
Cheng Hoe turut mengakui kekecewaan apabila Vietnam gagal mara ke final, namun menyifatkan pertemuan itu sebagai peluang kedua untuk Harimau Malaya memburu keputusan positif.
“Seperti yang kita tahu cara Vietnam bermain, walaupun mereka tidak layak ke final, sudah tentu kami juga kecewa mereka tidak layak.
“Ini adalah peluang kedua untuk kami mendapatkan keputusan yang baik ketika menentang Vietnam,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan Vietnam sebelum ini termasuk kekalahan kepada Thailand dan bolos dua gol ketika menentang Pakistan, Cheng Hoe berkata situasi itu memberi keyakinan kepada pasukannya.
“Sebagai jurulatih, kami berasa yakin dan kami merasakan pasukan bermain dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu Harimau Malaya memandang mudah ancaman Vietnam, terutama kepantasan mereka ketika melakukan transisi.
“Kami tahu transisi pemain Vietnam sangat pantas dan mereka bermain dengan kelajuan.
“Kami juga mempunyai pemain berkualiti yang mampu mengawal permainan. Kami perlu memanfaatkan peluang dan kesempatan di hadapan gawang,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe menegaskan ketajaman penyudah perlu diberi perhatian bukan sahaja ketika berdepan Vietnam, malah dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu kami perlu sangat klinikal, bukan hanya ketika menentang Vietnam, tetapi ketika menentang pasukan lain juga. Kami perlu meneruskan cara permainan yang ada,” katanya. – DETIK MALAYSIA
