SEPANG – Malaysia berpeluang menilai semula potensi membawa kembali perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) susulan kejayaan penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix di litar berkenaan.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Malaysia bagaimanapun tidak mungkin menggunakan model penganjuran secara berselang-seli dengan Singapura.
Sebaliknya, beliau melihat kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun sebagai model lebih praktikal dan mampan sekiranya F1 kembali ke SIC.
“Saya tidak fikir Singapura akan melepaskan peluang untuk menjadi tuan rumah Formula 1. Jadi, saya tidak fikir untuk mengadakannya secara bergilir-gilir dengan Malaysia adalah sesuatu yang boleh dilakukan,” katanya.
Malaysia kali terakhir menganjurkan F1 pada 2017, manakala Singapura mula menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2008.
Mokhzani berkata, kedua-dua negara juga mempunyai identiti perlumbaan yang berbeza.
“Perlumbaan di Singapura berbeza dengan perlumbaan di sini. Perlumbaan kita berlangsung pada waktu siang dan di litar kekal, manakala mereka mengadakannya pada waktu malam menggunakan litar jalan raya,” katanya.
Menurut beliau, sambutan terhadap Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang memberi peluang penting kepada Malaysia untuk menilai semula potensi ekonomi sekiranya F1 dibawa kembali ke negara ini.
Katanya, penganjuran perlumbaan itu menunjukkan kemampuan Sepang dan Malaysia menjadi tuan rumah acara permotoran antarabangsa bertaraf besar, selain memberi limpahan ekonomi menerusi kehadiran pelancong dan peminat sukan permotoran.
“Kita boleh mengkaji sama ada berbaloi untuk membawa Formula 1 kembali ke Malaysia. Dari segi kemampuan litar, ya, kita boleh melakukannya.
“Sama ada kita mempunyai kemampuan kewangan dan keperluan lain adalah sesuatu yang perlu dikaji. Tetapi saya yakin dan percaya jika kita menilainya semula, impak ekonominya akan menjadi besar dan semua pihak akan mendapat manfaat daripada penganjuran Formula 1,” katanya.
Mokhzani berkata, sekiranya Malaysia benar-benar mahu kembali menjadi tuan rumah tetap F1, negara perlu memberikan komitmen jangka panjang dan bukan sekadar menunggu peluang apabila litar lain tidak dapat menganjurkan perlumbaan.
Katanya, penganjuran kali ini berlaku dalam keadaan unik apabila Malaysia mendapat peluang menggantikan litar lain yang tidak dapat menganjurkan perlumbaan berkenaan.
“Ini situasi yang unik. Kita mendapat peluang menganjurkan perlumbaan ini kerana litar lain tidak dapat melakukannya. Saya tidak mahu melihat situasi seperti ini berterusan.
“Situasi seperti ini yang berpunca daripada ketegangan politik tidak baik untuk semua pihak. Kita tahu kesannya terhadap ekonomi global dan semuanya menjadi terganggu.
“Situasi ideal ialah setiap negara dapat menganjurkan perlumbaan di litar masing-masing,” katanya.
Dengan SIC sudah mempunyai infrastruktur, pengalaman dan reputasi antarabangsa untuk menganjurkan F1, persoalan utama kini ialah kesediaan Malaysia menyediakan komitmen kewangan bagi penganjuran secara berterusan.
Mokhzani berkata, kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun boleh memberikan kestabilan diperlukan bagi menjadikan kepulangan F1 ke Sepang lebih berdaya maju dari sudut komersial dan strategik.
Kemungkinan F1 kembali ke Sepang masih terbuka, namun ia bergantung kepada penilaian lebih menyeluruh terhadap impak ekonomi, kemampuan kewangan serta kesediaan semua pihak berkepentingan untuk menjalin kerjasama jangka panjang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – F1
