NAGOYA – Mesyuarat Penyelarasan dan Operasi bagi perlawanan ujian acara sepak takraw sempena Sukan Asia ke-20 Aichi–Nagoya 2026 berjaya dilaksanakan pada di Will Hotel, Nagoya, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri barisan kepimpinan tertinggi badan sepak takraw Asia dan dunia yang diketuai oleh Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, serta Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Boonchai Lorphipat.
Turut hadir ialah Muhammad Fariq Halim selaku Technical Delegate, Dr. Taksida, Presiden Persatuan Sepak Takraw Jepun, Oh Joo Yong, Naib Presiden ASTAF (Korea), selain pegawai teknikal antarabangsa (ITO) dan pengadil rasmi.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada aspek penyelarasan menyeluruh serta kesiapsiagaan operasi bagi memastikan semua perkara berkaitan teknikal, pengadilan dan penganjuran berada pada tahap terbaik.
Antara fokus utama dibincangkan termasuk perancangan perlawanan, pengurusan pertandingan, piawaian pengadilan, kesiapsiagaan venue serta koordinasi antara agensi mengikut keperluan penganjuran Sukan Asia.
Sesi itu turut mengesahkan tahap kerjasama kukuh antara ASTAF, ISTAF dan pihak penganjur tempatan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama terhadap profesionalisme serta kecemerlangan penganjuran.
Mesyuarat berkenaan menjadi satu pencapaian penting dalam persiapan acara sepak takraw bagi Sukan Asia Aichi–Nagoya 2026 dan meningkatkan keyakinan terhadap kelancaran pelaksanaan perlawanan ujian kelak. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF