KUCHING – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperkenalkan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak (HUS) sebagai ruang rehat khas yang selesa, kondusif dan lebih peribadi untuk jururawat wanita, khususnya yang hamil atau perlu mengepam susu ketika bertugas.
Kemudahan berkenaan dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri di sini hari ini.
Bilik Kasih Wanita merupakan inisiatif pertama YKN yang mengambil kira tuntutan tugas jururawat yang berdepan jadual kerja mencabar serta jumlah pesakit yang tinggi setiap hari.
Kemudahan itu membolehkan jururawat berehat seketika dan mengurus keperluan diri sebelum kembali menjalankan tanggungjawab merawat pesakit.
Nancy berkata, petugas kesihatan merupakan antara barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan merawat masyarakat, justeru kebajikan serta kesejahteraan mereka perlu diberikan perhatian.
“Jururawat sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan terbaik.
“Dalam kesibukan menjalankan tugas, mereka juga memerlukan ruang yang selesa untuk berehat dan mengurus keperluan diri.
“Bilik Kasih Wanita bukan sekadar sebuah kemudahan fizikal, malah merupakan satu bentuk sokongan terhadap kesejahteraan petugas kesihatan, khususnya jururawat wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak,” katanya.
Penyediaan kemudahan itu direalisasikan menerusi tajaan Perinsuran Brokar Sdn. Bhd., salah sebuah rakan strategik YKN yang menyokong pelaksanaan inisiatif berimpak sosial.
Nancy turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan atas komitmen dan keprihatinan dalam membantu meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan petugas kesihatan.
Menurutnya, kerjasama itu membuktikan penglibatan sektor korporat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mampu memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar.
“YKN mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat untuk tampil sebagai rakan strategik dalam memperluas kemudahan Bilik Kasih Wanita ke hospital lain yang memerlukan.
“Kerjasama ini membolehkan lebih ramai jururawat wanita menikmati ruang rehat yang selesa dan sesuai, sekali gus menyokong kesejahteraan mereka ketika menjalankan amanah menjaga pesakit,” katanya.
YKN akan menilai pelaksanaan dan impak Bilik Kasih Wanita di HUS sebagai rujukan bagi peluasan inisiatif tersebut ke hospital lain.
Pelaksanaannya akan bergantung kepada keperluan setempat, kesesuaian ruang serta sokongan dan tajaan daripada rakan korporat.
Sehubungan itu, YKN menyeru syarikat korporat, yayasan dan organisasi yang berminat untuk menyumbang agar bekerjasama dengan YKN dalam menjayakan peluasan kemudahan berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda CSR masing-masing.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perinsuran Brokar Sdn. Bhd. merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKN, Siti Rafidah Tan Sri Adenan; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung.
Pada majlis sama, Nancy turut menyampaikan sumbangan bakul makanan tajaan Kumpulan Sunway kepada penghuni Anjung Kasih YKN HUS.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada Kempen #SunwayforGood, Program Pemberian Bakul Makanan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Menerusi kerjasama strategik bersama YKN, Kumpulan Sunway menyumbang sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan di beberapa negeri di seluruh negara. – DETIK MALAYSIA
