KELANA JAYA – JOEL Cornelli secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada skuad bola sepak wanita kebangsaan selepas menamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress selama 17 bulan.
Jurulatih dari Brazil itu mengumumkan perkara berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook bertajuk ‘The End of a Chapter’ (Pengakhiran Sebuah Bab), sekali gus menutup lembaran penting dalam perjalanan profesionalnya bersama pasukan negara.
Cornelli turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Datuk Azman, Datuk Suraya Yaacob, Soleen Al-Zoubi dan Sha Samshool atas kepercayaan serta peluang yang diberikan kepadanya.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berkata pasukan itu telah memulakan proses pembaharuan skuad dengan kehadiran beberapa pemain baharu bagi membina asas untuk pembangunan pasukan pada masa depan.
“Sepanjang tempoh ini, kami bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen, selain memulakan proses penting pembaharuan skuad menerusi kehadiran pemain baharu bagi membina asas pembangunan pasukan pada masa depan,” katanya.
Bekas jurulatih Arema FC itu turut berterima kasih kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua pihak yang bersama-sama menjayakan perjalanan tersebut.
Beliau berkata, pengalaman serta kenangan yang diperoleh sepanjang mengendalikan pasukan wanita negara akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan profesionalnya.
Cornelli dilantik FAM pada Mei 2025 bagi menggantikan Soleen Al-Zoubi yang beralih tugas sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM. Pelantikan itu menyaksikan beliau menjadi jurulatih dari Brazil pertama mengendalikan skuad wanita kebangsaan.
Beliau membawa pengalaman kejurulatihan lebih dua dekad di Amerika Selatan, Asia dan Asia Tenggara, termasuk membantu Arema FC menjuarai Piala Presiden Indonesia 2024 serta membimbing Etihad Club meraih gelaran Liga Profesional Wanita Jordan 2023.
Tugasan kompetitif pertamanya bersama Malayan Tigress adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia Wanita Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2026 di Dushanbe, Tajikistan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Korea Utara, Palestin dan tuan rumah, Tajikistan.
Ketika mengendalikan pasukan pada Piala Wanita AFF 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Julai lalu, Malaysia memulakan kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Laos.
Norhadfina Mohd Firdaus meledak gol penyamaan pada minit ke-50 selepas Kemmy Phatdala meletakkan Laos di hadapan menerusi tandukan.
Bagaimanapun, kekalahan 1-3 kepada Singapura pada 16 Julai lalu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.
Keputusan itu turut menyaksikan Singapura mencatat kemenangan pertama ke atas Malaysia sejak 2007.
Sementara itu, FAM melantik bekas pembantu jurulatih Cornelli, Nidzam Adzha Yusoff sebagai ketua jurulatih interim.
Nidzam kemudian memanggil 23 pemain untuk menjalani kem latihan pusat bermula 3 Oktober lalu sebagai persiapan menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 di Doha, Qatar.
Bagaimanapun, permulaan tugasnya menyaksikan Malayan Tigress tewas 0-2 kepada Arab Saudi di Aspire Academy pada 9 Oktober lalu, selepas berjaya bertahan sehingga minit ke-87. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
