JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil tindakan dalaman terhadap individu bertanggungjawab selepas berlaku kecuaian pentadbiran membabitkan levi di bawah Peraturan FIFA Clearing House.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pihak kelab segera menjalankan siasatan dalaman sebaik menyedari perkara berkenaan.
Hasil siasatan mendapati kakitangan kelab terlepas pandang surat rasmi daripada FIFA berkaitan arahan pembayaran levi itu.
Beliau berkata, individu yang bertanggungjawab sudah dikenal pasti dan tindakan dalaman sewajarnya telah diambil susulan siasatan berkenaan.
Menurutnya, walaupun levi sebanyak 2.5 peratus itu membabitkan jumlah kewangan yang agak kecil, JDT tetap memandang serius semua urusan pentadbiran dan pematuhan peraturan.
Garcia menegaskan setiap urusan operasi kelab perlu dikendalikan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang perkara penting terlepas daripada perhatian pihak pengurusan.
Justeru, JDT memaklumkan langkah lebih ketat kini dilaksanakan bagi memastikan kecuaian sama tidak berulang pada masa hadapan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
