JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan levi sebanyak 2.5 peratus terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kelab itu gagal dalam penilaian pematuhan oleh FIFA Clearing House (FCH).
Keputusan bertarikh 22 September 2026 itu membabitkan 31 arahan pembayaran ganjaran latihan kepada kelab lain yang terlibat dalam pembangunan pemain.
Levi berkenaan dianggarkan berjumlah €1,122 (RM5,130) bagi keseluruhan 31 arahan pembayaran berkenaan.
Keputusan yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio dari Colombia selaku hakim tunggal itu mendapati JDT melakukan kegagalan pertama dalam penilaian pematuhan mengikut Artikel 17.7 Peraturan FIFA Clearing House.
Kegagalan itu menyebabkan proses pembayaran pampasan latihan kepada kelab pembangunan pemain tertangguh.
Sebanyak 10 arahan pembayaran membabitkan perpindahan pemain Brazil, Joao Figueiredo dari Istanbul Başakşehir, manakala 21 lagi berkaitan perpindahan pemain Colombia, Jorge Obregon dari HNK Rijeka.
Keseluruhan nilai 31 arahan pembayaran itu dianggarkan berjumlah €44,879 (RM205,195), dengan setiap arahan bernilai antara €261.72 (RM1,197) hingga €6,380.68 (RM29,174).
FIFA Clearing House berperanan menguruskan pembayaran ganjaran latihan antara kelab, dengan pembayaran hanya boleh dimulakan selepas kelab baharu dan kelab latihan yang terlibat melepasi penilaian pematuhan.
Jawatankuasa itu menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan penilaian oleh FIFA Clearing House yang bersifat muktamad dan mengikat, sebaliknya hanya bertanggungjawab mengenakan tindakan berdasarkan peraturan berkenaan.
Levi itu akan disalurkan kepada kelab latihan melalui FIFA Clearing House sebagai ganti kepada faedah bagi pembayaran lewat.
Menurut keputusan tersebut, tindakan berkenaan bertujuan memberikan kesan pencegahan serta mengingatkan kelab supaya mematuhi peraturan FIFA.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menyatakan sebab khusus JDT gagal dalam penilaian pematuhan berkenaan.
JDT juga dilaporkan tidak mengemukakan jawapan dalam tempoh tiga hari selepas prosiding dibuka pada 17 September lalu.
Keputusan itu boleh dirayu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari selepas pemberitahuan dibuat.
JDT turut diarahkan melengkapkan penilaian pematuhan seterusnya secara langsung dengan FIFA Clearing House. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
