KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa menghina Somalia dan membuat generalisasi terhadap rakyat negara itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Somalia ialah sebuah negara berdaulat dan tidak sepatutnya menjadi sasaran penghinaan oleh mana-mana pemimpin dunia.
Menurutnya, tiada pemimpin mempunyai hak untuk merendahkan martabat seluruh rakyat sesebuah negara atau menjadikan masalah politik dan ekonomi sebagai alasan untuk menghina identiti mereka.
“Somalia ialah sebuah negara berdaulat, bukannya sasaran penghinaan presiden. Tiada pemimpin dunia berhak merendahkan martabat seluruh rakyat atau mengaitkan identiti sesebuah negara dengan masalah politik dan ekonominya,” katanya dalam kenyataan pada 22 Oktober.
Menurut Mohd Azmi, laporan The National pada 20 Oktober lalu menyebut Trump menggunakan bahasa menghina ketika menggambarkan Somalia, termasuk mendakwa negara itu tidak mempunyai kerajaan serta mengaitkan rakyatnya dengan keganasan.
Kenyataan itu dibuat dalam konteks serangan Trump terhadap anggota Kongres AS, Ilhan Omar dan masyarakat Somalia-Amerika.
Beliau berkata, kenyataan berbentuk generalisasi sedemikian menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab kepimpinan politik, penghormatan terhadap maruah negara serta standard tingkah laku dalam hubungan antarabangsa.
Katanya, Somalia berdepan konflik selama beberapa dekad, gangguan institusi, krisis kemanusiaan dan tekanan luar, namun cabaran itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memalukan seluruh negara atau menggambarkan rakyatnya menerusi stereotaip yang merendahkan martabat mereka.
“Kesukaran yang dihadapi sesebuah negara tidak seharusnya menjadi lesen untuk menghina. Rakyat Somalia mempunyai sejarah, budaya, identiti dan aspirasi mereka sendiri.
“Maruah mereka tidak bergantung kepada pengiktirafan Washington atau mana-mana ibu negara lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan prinsip kesamarataan kedaulatan yang termaktub dalam Artikel 2(1) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpakai kepada semua negara anggota.
Menurutnya, kekuatan politik dan ekonomi tidak memberikan hak kepada sesebuah negara untuk menuntut penghormatan yang lebih tinggi berbanding negara lain, manakala kelemahan sesebuah negara tidak mengurangkan kedaulatannya.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan kepentingan membezakan kritikan terhadap kerajaan dengan penghinaan terhadap seluruh rakyat sesebuah negara.
Katanya, dakwaan berkaitan jenayah perlu disiasat berdasarkan bukti individu dan proses undang-undang yang sewajarnya, bukannya digunakan untuk memberikan stigma kepada masyarakat berdasarkan asal negara atau latar belakang etnik.
Beliau berkata, pemimpin politik mempunyai tanggungjawab besar memastikan kenyataan mereka tidak meningkatkan permusuhan terhadap komuniti yang terdedah kepada diskriminasi.
Retorik yang menggambarkan seluruh kumpulan masyarakat sebagai berbahaya atau tidak diingini berisiko menyemarakkan prasangka, diskriminasi dan intimidasi.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa pentadbiran AS mengamalkan diplomasi yang bertanggungjawab, menghormati kedaulatan Somalia dan mengelakkan kenyataan yang merendahkan martabat rakyat negara berkenaan.
MAPIM turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Afrika (AU) dan institusi antarabangsa berkaitan menegaskan semula prinsip saling menghormati, tanpa diskriminasi serta kesamarataan kedaulatan.
“Kerajaan boleh dikritik, dasar boleh dicabar dan sebarang salah laku perlu ditangani. Namun, tiada negara dan rakyatnya wajar menjadi sasaran penghinaan secara kolektif.
“Somalia berhak dihormati dan rakyatnya berhak mendapat maruah. Kedaulatan tidak seharusnya diukur berdasarkan kuasa pihak yang bercakap mengenainya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
