PETALING JAYA – Selangor FC mempamerkan ketahanan mental luar biasa apabila menundukkan Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Kapten pasukan Faisal Halim menegaskan kemenangan ini datang daripada tekad seluruh skuad untuk bangkit selepas keputusan hambar sebelum ini.
“Saya tidak sanggup lagi terima kekalahan demi kekalahan. Malam ini saya tekankan kepada rakan sepasukan supaya fight habis-habisan dan ambil tiga mata penuh. Semua pemain bekerja keras walaupun penat,” ujarnya selepas perlawanan.
Faisal percaya kemenangan ini akan menjadi titik kebangkitan Selangor menjelang perlawanan penting seterusnya.
“Ini turning point untuk pasukan. Kita kena kekalkan momentum ini untuk aksi-aksi besar yang menanti,” katanya.
Faisal turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik kelab, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan.
“Tuanku hadir memberi semangat walaupun ketika kita kalah. Jadi kemenangan ini juga hadiah untuk Tuanku dan penyokong Selangor,” katanya.
Faisal akui Selangor kini beraksi sebagai satu keluarga yang bersatu.
“Kami berjuang untuk kelab, rakan sepasukan, penyokong dan diri sendiri. Walaupun perjalanan masih panjang, saya yakin dengan mentaliti yang betul, Selangor mampu pergi jauh,” tambahnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Selangor FC