SINTOK – Kehadiran lima pelajar baharu dari Perancis di Universiti Utara Malaysia (UUM) memberi warna baharu apabila mereka mengakui sudah jatuh cinta dengan keindahan landskap hijau, suasana mesra dan kepelbagaian budaya di kampus berkenaan.
Seorang daripadanya, Botto Cara Lou Micheline Christiane, 21, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Keusahawanan, melahirkan rasa kagum dengan keindahan persekitaran dan sambutan hangat yang diterimanya sejak hari pertama tiba.
“Saya berasa sangat dialu-alukan. Kehangatan sambutan daripada pensyarah dan rakan-rakan pelajar menjadikan saya cepat menyesuaikan diri. Malah, pengalaman pertama menjamu hidangan tradisional Malaysia juga sangat istimewa kerana rasanya unik dan berbeza daripada makanan di negara saya,” katanya dalam Facebook rasmi UUM.
Cara Lou merupakan seorang daripada 4,549 pelajar baharu yang mendaftar di UUM pada 23 September lalu.
Beliau bersama pelajar lain turut mengangkat ikrar sebagai warga UUM dalam satu majlis yang disaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan.
Rakan senegaranya, Amblard Morgan Alice May, 24, pula menyatakan rasa teruja kerana dapat menimba ilmu dalam suasana antarabangsa yang penuh dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.
“Kami benar-benar teruja berada di sini. Makanan sangat sedap, budaya meriah dan kampus ini penuh dengan peluang. Kami tidak sabar untuk meneroka lebih banyak pengalaman di UUM dan Malaysia,” ujarnya.
Kehadiran lima pelajar Perancis itu bukan sahaja menambah warna dalam komuniti antarabangsa di UUM, malah turut mengangkat imej universiti sebagai destinasi pilihan pelajar luar negara yang ingin menimba ilmu, khususnya dalam bidang keusahawanan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Shamsul Shafie JKK / UUMM
