LONDON – Manchester City terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, selepas mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Crystal Palace dalam aksi minggu ke-16 di Selhurst Park, malam tadi.
Dua gol Erling Haaland dan satu jaringan Phil Foden memastikan tiga mata penuh milik skuad kendalian Pep Guardiola, sekali gus melonjakkan City ke tangga kedua liga dengan 34 mata.
Keputusan itu menyaksikan City kini hanya ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang terlebih dahulu meraih kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers, sehari sebelumnya.
Persaingan di kelompok teratas liga turut dimeriahkan Aston Villa yang berada di tangga ketiga dengan 33 mata selepas menewaskan West Ham United 3-2, biarpun dua kali ketinggalan dalam perlawanan berkenaan.
Chelsea pula menghuni tempat keempat dengan 26 mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Everton, diikuti Crystal Palace, Liverpool dan Sunderland yang berkongsi jumlah mata sama, namun dipisahkan perbezaan jaringan.
Manchester United berada di kedudukan kelapan dengan 25 mata, namun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan apabila dijadual menentang Bournemouth awal pagi Selasa ini.
Sementara itu, Tottenham Hotspur terus bergelut apabila dibelasah Nottingham Forest 0-3, sekali gus menyaksikan Spurs terperosok ke tangga ke-11 liga dengan 22 mata.
Keputusan lain perlawanan Liga Perdana Inggeris menyaksikan Sunderland menewaskan Newcastle United 1-0, manakala Brentford terikat 1-1 dengan Leeds United. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB Erling Haaland