KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Hakim Danish, terpaksa berpuas hati bermula dari petak ke-22 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun selepas gagal melangkah ke sesi kelayakan kedua (Q2), hari ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat keputusan kelapan dalam sesi Q1 dengan masa terpantas 1:55.856, sekali gus terlepas peluang untuk mara ke Q2.
Hanya empat pelumba terbaik daripada kumpulan 12 pelumba Q1 layak ke Q2 dengan Guido Pini, Rico Salmela, Jesus Rios dan Zen Mitani mengisi empat kedudukan teratas.
Hakim Danish bagaimanapun menunjukkan rentak memberangsangkan dalam sesi latihan bebas kedua (FP2) apabila merekodkan masa 1:55.594 sebagai catatan terbaiknya.
Dia konsisten mencatat masa sekitar 1:55 hingga 1:56 pada beberapa pusingan sebelum sesi berakhir lebih awal selepas terbabit dalam kemalangan.
Pelumba berusia itu menamatkan FP2 di tempat ke-11, ketinggalan 0.849 saat daripada David Almansa yang mencatat masa terpantas 1:54.745.
Catatan Almansa turut menjadi rekod baharu litar Motegi, mengatasi rekod sebelumnya milik Jose Antonio Rueda iaitu 1:55.305 yang dilakukan pada 2024.
Dalam Q1, Hakim Danish hanya ketinggalan 0.534 saat daripada Pini yang mencatat masa terpantas 1:55.322, manakala perbezaannya dengan pelumba di tempat ketujuh hanya 0.066 saat.
Bagaimanapun, percubaan kedua Hakim Danish tidak membuahkan hasil apabila catatannya dibatalkan dan dia gagal memperbaiki masa.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish akan memulakan perlumbaan esok dari petak ke-22, walaupun memiliki rentak kompetitif sepanjang sesi di Motegi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
