KUALA NERUS – Seramai 45 mahasiswa dari sembilan negara ASEAN memberi komitmen menyertai ASEAN Youth Forum on Tourism 2026 yang bakal berlangsung di Muzium Terengganu, pada 28 Oktober ini.
Forum itu dianjurkan Koperasi HTK dengan Southeast Asia Academic Mobility (SEAAM) Indonesia, dengan kerjasama Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Zon Timur.
Mesyuarat khas bersama rakan strategik bagi membincangkan pelaksanaan program berkenaan turut dihadiri Pengarah IKMA Zon Timur, Prof. Madya Dr. Zikri; wakil Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT); wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), wakil Pengarah Muzium Terengganu serta wakil Ketua Pegawai TTI Management Berhad.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Terengganu dan pengurusan HTK.
Mahasiswa yang menyertai forum itu terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Singapura.
Program sehari itu memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu pelancongan lestari, pelancongan pendidikan serta koperasi desa dalam pelancongan.
Fasilitator program terdiri daripada FPEPS UMT, Universiti Keusahawanan dan Koperasi serta Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Kelautan UMT.
Peserta forum turut dibawa melawat Muzium Terengganu dan Taman Tamadun Islam sebagai sebahagian usaha mempromosikan Visit Malaysia 2026-2027 dan Visit Truly Terengganu 2027.
Majlis perasmian program berkenaan akan disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Khazan Che Mat. – DETIK MALAYSIA
