ISKANDAR PUTERI – Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva menerima penghargaan daripada Malaysian Football League (MFL) selepas diiktiraf sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super Sepanjang Zaman.
Penghargaan berupa plak itu disampaikan oleh Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan bersama bekas penjaring terbanyak, Indra Putra Mahayuddin sebelum perlawanan Piala FA antara JDT dan UM Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Bergson berjaya mencipta sejarah apabila memecahkan rekod 106 gol milik Indra Putra selepas meledak jaringan ketika aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 September lalu.
Kini, penyerang berusia 34 tahun itu sudah mengumpul 109 gol selepas menjaringkan hatrik dalam aksi liga terbaharu, sekali gus terus melebarkan jurang sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Johor Southern Tigers menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab berkata, pengiktirafan tersebut adalah satu penghormatan besar buat Bergson yang telah memberi sumbangan luar biasa dalam arena bola sepak negara.
“Luaskan Kuasamu Johor,” tulis kenyataan itu. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - JST
