JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Nike meneruskan kerjasama tajaan jersi untuk musim ke-12 berturut-turut, sekali gus mengukuhkan antara hubungan paling lama dalam bola sepak Malaysia.
Kerjasama berkenaan diteruskan selepas JDT melancarkan jersi baharu Home dan Away bagi musim 2026/27 dalam satu acara bersama penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, pada 15 Ogos lalu.
Nike menjadi rakan rasmi pengeluar jersi JDT sejak 2014 dan musim 2026/27 menyaksikan kerjasama antara gergasi bola sepak Selatan itu dengan jenama sukan berkenaan memasuki tahun ke-12.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pihaknya teruja memperkenalkan jersi Home dan Away baharu bagi menghadapi musim yang mencabar.
“Kami sangat teruja memperkenalkan jersi Home dan Away bagi musim 2026/27 ketika memasuki musim baharu yang sekali lagi menyaksikan kami bersaing dalam kejohanan domestik, serantau dan benua.”
Menurutnya, pelancaran itu turut menandakan kesinambungan kerjasama jangka panjang bersama Nike.
“Pelancaran jersi ini juga menandakan kerjasama jangka panjang kami dengan Nike, sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi mereka dalam menghasilkan jersi yang begitu menakjubkan untuk kami.”
Luis Garcia berkata, tempoh kerjasama berkenaan turut mencerminkan kepercayaan Nike terhadap hala tuju JDT.
“Saya percaya kerjasama jangka panjang ini mencerminkan kepercayaan Nike terhadap visi dan hala tuju JDT.”
Kerjasama selama 12 tahun itu berkembang seiring transformasi JDT daripada sebuah kelab dominan di pentas domestik kepada kuasa bola sepak yang turut bersaing di peringkat serantau dan Asia.
JDT memasuki musim 2026/27 sebagai juara bertahan selain terus memburu kejayaan dalam pelbagai kejohanan, termasuk pertandingan domestik, serantau dan saingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Jersi Nike juga menjadi antara identiti yang sinonim dengan perjalanan JDT sepanjang tempoh berkenaan, khususnya ketika kelab itu mencipta pelbagai kejayaan dalam tempoh lebih sedekad. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – JST
