KUALA LUMPUR – Impian Harimau Malaya untuk mara ke final ASEAN Hyundai Cup 2026 berdepan laluan berliku selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium KLFA, di sini malam tadi.
Vietnam kendalian Kim Sang-sik memperoleh kelebihan menerusi jaringan Nguyen Xuan Son pada penghujung babak pertama sebelum gol sendiri pertahanan Malaysia, Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-86 melengkapkan kemenangan skuad Naga Emas.
Keputusan itu turut menyaksikan Malaysia masih gagal menewaskan Vietnam sejak kali terakhir mencatat kemenangan pada 2014.
Malaysia mempertaruhkan pemain baharu PSM Makassar, Sergio Aguero untuk mengemudi bahagian tengah, manakala Vietnam bergantung kepada penyerang berbisa, Nguyen Xuan Son.
Bagaimanapun, perancangan Tan Cheng Hoe menerima tamparan awal apabila Rodney Celvin terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-16.
Situasi itu membuka ruang kepada Aysar Hadi untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya.
Malaysia hampir membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi kapten, Paulo Josue, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.
Daryl Sham kemudian cuba memanfaatkan bola muntah itu, namun percubaannya pula melambung melepasi palang.
Vietnam hampir memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi Nguyen Dinh Bac, tetapi penjaga gol Malaysia, Azri Ghani tampil cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Bagaimanapun, ketika babak pertama seakan berakhir tanpa jaringan, Nguyen Xuan Son muncul mencetuskan sengatan buat Harimau Malaya apabila meledak gol untuk memberikan Vietnam kelebihan 1-0 sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, Vietnam tampil lebih yakin dan terus memberi tekanan kepada benteng Malaysia bagi mencari gol kedua.
Malaysia berpeluang mendapat kelebihan apabila Patrik Le Giang dilihat menyentuh bola di luar kawasan penalti pada minit ke-61.
Pengadil dari Uzbekistan, Rustam Lutfullin, pada awalnya melayangkan kad merah terus kepada penjaga gol berusia 33 tahun itu.
Namun, selepas semakan Video Assistant Referee (VAR), keputusan tersebut dibatalkan dan Le Giang dibenarkan meneruskan permainan.
Tan Cheng Hoe kemudian melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Haqimi Azim dan Ibrahim Manusi bagi menggantikan Mohamadou Sumareh serta Syafiq Ahmad.
Ibrahim turut mencipta sejarah peribadi apabila membuat penampilan sulung bersama skuad senior Malaysia.
Harimau Malaya terus memburu gol penyamaan, namun Vietnam kekal berbahaya sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-86.
Nasib malang menimpa Faris Danish apabila bola terkena tubuh pertahanan JDT II itu sebelum terbias masuk ke gawang sendiri untuk memberikan Vietnam kelebihan 2-0.
Malaysia terus mengasak pada baki permainan bagi mendapatkan jaringan penting, namun pertahanan Vietnam kekal utuh untuk memastikan kemenangan 2-0.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam membawa bekalan dua gol menjelang aksi timbal balik di Hanoi, sekali gus meletakkan Harimau Malaya dalam situasi sukar untuk memburu tiket ke final. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
