KUALA LUMPUR – Kecewa dengan kekalahan, namun masih belum mengibarkan bendera putih.
Itu mesej jelas disampaikan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas Malaysia tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup 2026, malam tadi.
Tan enggan menyalahkan barisan pemain muda yang diturunkan, sebaliknya memuji komitmen serta keberanian anak buahnya berdepan juara bertahan yang terkenal dengan serangan balas pantas.
“Saya bangga dengan pemain. Mereka sudah memberikan yang terbaik, menunjukkan keyakinan dan komitmen.
“Sebagai jurulatih, saya sedikit kecewa dengan keputusan tetapi bangga dengan mereka semua. Kami tahu transisi Vietnam sangat berbahaya dan bermain menentang mereka bukan tugas mudah,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Malaysia sebenarnya berpeluang membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi Daryl Sham, namun percubaan penyerang muda itu dinafikan penjaga gol Vietnam.
Tan bagaimanapun tidak mahu kesilapan itu menjejaskan keyakinan Daryl, sebaliknya menganggapnya sebagai pengalaman penting buat pemain muda berkenaan.
“Ia pengalaman yang baik untuk dia bermain dalam suasana separuh akhir menentang pasukan lebih baik.
“Saya beritahu dia kesilapan adalah sebahagian daripada permainan. Teruskan bermain mengikut kemampuan. Jika mendapat satu lagi peluang, saya percaya dia akan menjaringkan gol,” katanya.
Menurut Tan, perlawanan di peringkat tinggi seperti itu ditentukan oleh kesilapan kecil, terutama ketika tumpuan pemain mula terhakis.
“Kami mencipta peluang pada babak pertama tetapi perlu lebih klinikal. Kurang konsentrasi pada minit terakhir babak pertama benar-benar merugikan kami.
“Anda tidak boleh melakukan kesilapan kerana lawan akan menghukumnya,” katanya.
Situasi Malaysia bertambah sukar selepas pertahanan tengah, Rodney Celvin terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-16.
Ketiadaan Rodney menyaksikan barisan pertahanan muda termasuk pemain yang membuat penampilan sulung, Aysar Hadi, terpaksa memikul tanggungjawab besar.
Tan bagaimanapun memuji keberanian pemain bawah 23 tahun yang diturunkan.
“Barisan pertahanan kami masih mentah dari segi pengalaman di peringkat antarabangsa seperti ini.
“Tetapi Aysar, Jimmy dan semua pemain bawah 23 tahun ini, saya perlu tabik, ucap tahniah dan sokong mereka.
“Secara keseluruhan, empat pertahanan itu bermain dengan baik di bawah tekanan hebat,” katanya.
Tan turut memberikan penghargaan kepada pemain berpengalaman yang membantu membimbing barisan muda sepanjang perlawanan, khususnya ketika Malaysia ketinggalan dua gol.
Dengan defisit dua gol untuk dikejar, Harimau Malaya kini perlu mengharungi aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada 19 Ogos ini.
Tan mengakui tugas itu bukan mudah, namun mahu anak buahnya menikmati tekanan serta memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
“Kami tidak kalah dalam peperangan di sini, kami hanya kalah dalam satu pertempuran.
“Kami tahu bukan mudah bermain di Hanoi dengan sokongan penyokong tuan rumah dan stadium yang penuh. Tetapi saya mahu pemain menikmati tekanan ini dan pergi ke sana dengan kemampuan terbaik,” katanya.
Tan turut percaya satu jaringan mampu mengubah momentum perlawanan dan mencetuskan kebangkitan Harimau Malaya.
“Mungkin jika anda menjaringkan satu gol, anda akan mendapat keyakinan. Saya optimis. Kami perlu pergi ke sana dan mencabar keadaan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto –
