KUALA LUMPUR – Kuasa politik bukan hak mutlak parti atau pemimpin yang memenangi pilihan raya sebaliknya mandat rakyat yang perlu diurus berlandaskan amanah, undang-undang, semak imbang dan pertanggungjawaban awam.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, politik tanpa tatakelola baik hanya melahirkan slogan, perebutan kuasa dan janji yang tidak dilaksanakan.
Menurut beliau, kerajaan yang baik memerlukan keseimbangan antara keteguhan prinsip, kecekapan pentadbiran dan integriti kepimpinan.
“Prinsip menentukan apa yang benar, kecekapan menentukan bagaimana sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan baik, manakala integriti memastikan kuasa tidak disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, dalam kerangka Islam, kuasa adalah amanah yang akan dipersoalkan, manakala Surah al-Nisa’ ayat 58 menggabungkan dua asas pemerintahan iaitu amanah dan keadilan.
Katanya, pelantikan seseorang berdasarkan kesetiaan politik semata-mata tanpa mengambil kira kelayakan, pengalaman dan integriti merupakan pengkhianatan terhadap amanah.
“Jawatan mesti diberikan kepada yang layak dan keputusan pula perlu dibuat secara adil.
“Politik yang beramanah melihat jawatan sebagai tanggungjawab, bukannya peluang menguasai sumber negara,” katanya.
Mohd Azmi berkata, kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi awam tidak boleh dianggap sebagai ganjaran kepada penyokong politik kerana harta negara adalah milik rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip tidak boleh berubah mengikut kedudukan seseorang, terutama apabila sudah memperoleh kuasa untuk melantik, meluluskan kontrak, mengagihkan peruntukan dan menentukan dasar.
Menurutnya, kerajaan tidak memadai sekadar mendakwa pentadbirannya bersih sebaliknya kebersihan itu perlu dibuktikan menerusi proses telus, pengisytiharan kepentingan, audit bebas, tender terbuka dan tindakan tegas terhadap penyelewengan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kecekapan tanpa integriti juga boleh membawa kemudaratan apabila keputusan dipengaruhi kepentingan peribadi, hubungan politik atau bayaran tertentu.
Katanya, ukuran kecekapan tidak seharusnya berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau peruntukan yang dibelanjakan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira hasil kepada rakyat, kualiti perkhidmatan, ketepatan sasaran dan keberkesanan kos.
Mengenai pelantikan politik, beliau berkata, ia tidak semestinya salah dalam semua keadaan, namun menjadi masalah apabila kesetiaan politik mengatasi kompetensi, integriti dan tanggungjawab profesional.
“Institusi ekonomi kritikal, GLC, dana awam, badan berkanun dan institusi yang mengurus harta rakyat perlu dilindungi daripada campur tangan partisan yang berlebihan.
“Pelantikan ke lembaga pengarah hendaklah melalui proses penilaian yang jelas dengan mengambil kira pengalaman bidang, pemahaman kewangan, rekod integriti dan kebebasan membuat keputusan,” katanya.
Beliau mencadangkan had jumlah jawatan lembaga yang boleh dipegang seseorang, pengisytiharan semua imbuhan dan manfaat, semakan latar belakang serta konflik kepentingan dan penggunaan jawatankuasa pencalonan profesional serta bebas.
Katanya, setiap kementerian dan agensi juga perlu mempunyai petunjuk prestasi yang boleh diukur serta penilaian tahunan terhadap ahli lembaga.
Dalam isu konflik kepentingan pula, Mohd Azmi berkata, setiap menteri, pegawai kanan, ahli lembaga dan ketua agensi perlu mengisytiharkan aset serta kepentingan perniagaan.
“Apabila sesuatu keputusan melibatkan pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka, individu terbabit wajib menarik diri daripada proses perbincangan dan kelulusan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mengawal fenomena ‘pintu berputar’ dengan memperkenalkan tempoh bertenang dan peraturan jelas bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Mengulas perolehan awam, katanya, tender terbuka perlu dijadikan kaedah utama manakala rundingan terus hanya digunakan dalam keadaan benar-benar luar biasa dengan alasan diterbitkan, kelulusan boleh diaudit dan pemantauan bebas.
Beliau berkata, maklumat projek juga perlu didedahkan termasuk nama syarikat penerima kontrak, nilai asal dan akhir projek, kaedah perolehan, tempoh pelaksanaan, pemilik manfaat sebenar syarikat serta perubahan skop dan kos.
Selain itu, beliau menegaskan institusi pengawasan seperti badan pencegah rasuah, Jabatan Audit Negara, Parlimen, badan kehakiman, pihak pendakwaan dan media perlu diberi ruang menjalankan tanggungjawab secara profesional.
Katanya, perlindungan kepada pemberi maklumat juga perlu diperkukuh bagi memastikan mereka tidak takut mendedahkan penyelewengan melalui saluran yang sah.
Mohd Azmi turut menekankan kepentingan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam melalui pendigitalan, penyelarasan data dan pengurangan kelulusan bertindih.
“Pendigitalan tidak boleh sekadar memindahkan birokrasi manual kepada skrin. Proses yang tidak perlu mesti dihapuskan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan agenda reformasi tatakelola yang konsisten dan tidak berubah mengikut pertukaran kerajaan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk menggubal undang-undang pembiayaan politik, memperketat pengisytiharan aset dan konflik kepentingan, menginstitusikan tender terbuka, memastikan pelantikan ke GLC dan badan berkanun berdasarkan kompetensi serta memperkasakan Parlimen dan institusi audit.
Turut dicadangkan ialah memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dan saksi, mengehadkan tempoh serta jumlah pelantikan lembaga serta menerbitkan laporan prestasi kementerian, agensi dan GLC secara berkala.
“Negara tidak boleh hanya bertindak apabila wang terbukti dicuri. Kecuaian besar, keputusan yang tidak kompeten dan kegagalan mengurus risiko turut boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
“Mereka yang diberi amanah mesti bertanggungjawab terhadap keputusan dan pengawasan mereka,” katanya.
Mohd Azmi berkata, ukuran sebenar sesebuah kerajaan bukan pada kekuatan slogan atau tempoh ia bertahan, sebaliknya sejauh mana amanah rakyat dipelihara, wang negara diurus dengan cermat, institusi dihormati dan kehidupan rakyat diperbaiki.
“Kuasa boleh diperoleh melalui politik, tetapi kewibawaan hanya dapat dipertahankan melalui amanah, kecekapan dan integriti,” katanya. – DETIK MALAYSIA
