JPJ sita kenderaan tiada LKM, insurans tamat tempoh




SEMENYIH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor meneruskan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan dengan tumpuan di sekitar Jalan Semenyih di sini pada Sabtu.

JPJ Negeri Selangor dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap semua aduan yang diterima selain menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Dalam operasi berkenaan, beberapa kesalahan dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans tamat tempoh serta tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Susulan itu, kenderaan yang terbabit telah disita dan dibawa ke SPK Semenyih untuk tindakan lanjut.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkan aduan menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau menggunakan platform aplikasi e-aduan dengan menyertakan butiran lengkap pengadu serta maklumat kesalahan.- DETIK MALAYSIA

Foto kredit - JPJ Selangor