KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 yang berpotensi mempengaruhi corak taburan hujan di rantau ini, sebelum keadaan dijangka kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui Pusat Iklim Nasional dalam kenyataannya berkata, tinjauan jangka panjang dari September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kekal neutral dengan kebarangkalian 56 peratus sehingga Oktober ini.
“Berdasarkan konsensus beberapa model iklim, fenomena global seperti ENSO, Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) turut dirujuk. Majoriti model antarabangsa menunjukkan ENSO berada pada tahap neutral dengan Indeks Nino Lautan (ONI) bagi kawasan Nino 3.4 pada Mei, Jun dan Julai 2025 direkodkan pada paras -0.1 darjah Celsius,” katanya.
Menurut MetMalaysia, selepas tempoh itu terdapat kemungkinan berlakunya La Nina dalam tempoh singkat pada awal 2026 sebelum pola cuaca kembali stabil.
“Fenomena ini dijangka memberi kesan terhadap corak hujan di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pada masa ini, negara masih berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga bulan ini. Tiupan angin barat daya menyebabkan kelembapan udara rendah sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di kebanyakan negeri,” jelas kenyataan itu.
MetMalaysia turut menjelaskan, keadaan kering ini boleh menyebabkan lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan selain risiko jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Walaupun cuaca kering, risiko angin kencang serta ribut petir tetap ada terutama di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah. Ribut petir lazimnya berlaku pada awal pagi akibat fenomena garis badai yang terbentuk hasil penumpuan angin dan boleh berlarutan beberapa jam,” katanya.
Bagi ramalan terkini, angin baratan kencang dijangka melanda rantau negara bermula 22 hingga 25 September ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan garis badai yang membawa hujan lebat serta angin kencang khususnya di utara Sarawak, barat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.