TANJUNG MALIM - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melalui Unit Peronda Lebuhraya (UPLR) menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran pada bahagian belakang kenderaan tersebut adalah milik individu lain yang mempunyai 42 saman AwAS direkodkan.
“Pemilik sebenar kenderaan telah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 108(3)(f), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Kenderaan itu juga disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya lagi, semua 42 saman AwAS yang sebelum ini dikaitkan dengan nombor pendaftaran berkenaan akan dipindahkan kepada pemilik sebenar kenderaan.
Turut hadir dalam operasi itu ialah Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.
JPJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan nombor pendaftaran dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi menjaga keselamatan serta integriti sistem pengangkutan jalan raya negara. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - JPJ Malaysia
