KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan serius terhadap kemerosotan ketara suasana Islamofobia dan peningkatan keganasan anti-Muslim di India, yang didakwa didorong oleh ekosistem ucapan kebencian, serangan vigilante, penguatkuasaan diskriminasi serta intimidasi berterusan terhadap komuniti Muslim.
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, insiden yang direkodkan di pelbagai negeri India menunjukkan corak berulang yang konsisten, sekali gus menggambarkan wujudnya persekitaran permisif apabila naratif ekstrem dinormalisasikan, kempen boikot awam digalakkan dan mangsa sering gagal mendapat perlindungan, malah ada yang dikriminalkan selepas kejadian.
Menurutnya, laporan terkini serta pangkalan data insiden bagi Oktober 2025 mendedahkan peningkatan serangan berkaitan ‘vigilante lembu’, ucapan kebencian terbuka di ruang awam yang menggesa boikot serta kempen terancang yang menstigma peniaga dan komuniti Muslim.
“Kes serangan terhadap pengangkut lembu di Jalna, Maharashtra misalnya menunjukkan bagaimana kumpulan mob bertindak dengan yakin dan agresif, menggunakan tuduhan berkaitan penyembelihan sebagai alasan untuk melakukan keganasan, penghinaan dan pemusnahan maruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap penormalan ucapan kebencian yang melabel Muslim sebagai pengganas, menyebarkan fitnah kononnya makanan ‘dicemari’ serta seruan boikot yang disampaikan secara terbuka dalam program keagamaan dan perhimpunan awam.
“Budaya dehumanisasi ini membuka ruang kepada keganasan yang lebih serius,” ujarnya.
Selain itu, Mapim turut menegaskan wujudnya pengasingan ekonomi sebagai alat tekanan politik apabila perniagaan Muslim digambarkan sebagai ‘tidak bersih’ atau ‘tidak diingini’, termasuk laporan kempen pelekat ‘pensijilan’ sempena Chhath Puja di Delhi yang disifatkan sebagai intimidasi pasaran dan pengasingan komuniti secara tersusun.
Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, corak berulang kejadian di pelbagai wilayah dengan modus operandi yang sama tidak boleh dianggap sebagai kebetulan, sebaliknya memerlukan perhatian antarabangsa yang segera dan serius.
“Sebagai sebuah negara demokrasi dan aktor global, India wajib mematuhi prinsip kesaksamaan perlembagaan serta komitmen hak asasi manusia antarabangsa secara konsisten. Trajektori semasa berisiko mengukuhkan impuniti majoritarian, memburukkan polarisasi komuniti dan mencetuskan ketidakstabilan jangka panjang di Asia Selatan,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa tindakan antarabangsa segera termasuk intervensi dan pemantauan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) serta pelapor khas berkaitan kebebasan beragama, isu minoriti dan rasisme.
Mapim turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan konsultasi kecemasan berhubung Islamofobia di India, selain menggesa negara-negara ASEAN membangkitkan isu tersebut melalui platform serantau dan saluran dua hala yang sesuai.
“Malaysia juga perlu memainkan peranan kepimpinan diplomatik dengan mengambil pendirian tegas dan berprinsip, termasuk mendesak perlindungan minoriti, siasatan telus terhadap jenayah kebencian serta menolak budaya impuniti terhadap serangan mob dan kempen hasutan,” katanya.
Tambah beliau, pihak berkuasa India perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara konsisten, termasuk mendakwa kes hasutan kebencian dan keganasan vigilante, melindungi mangsa serta saksi, dan menghentikan intimidasi terhadap wartawan serta aktivis.
“Mapim berdiri bersama Muslim India dan semua komuniti yang menjadi mangsa penindasan dan kebencian. Berdiam diri terhadap diskriminasi sistemik bermakna bersekongkol. Komuniti antarabangsa mesti bertindak dengan kejelasan moral dan ketegasan undang-undang demi mempertahankan maruah manusia,” tegasnya. - DETIK MALAYSIA
