KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan perlu diperkasakan menerusi pendekatan ‘Rumah Besar’ yang mampu menyatukan pelbagai kelompok politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis, institusi strategik serta masyarakat demi menghidupkan semula agenda reformasi.
Pensyarah Multiversiti Mapim Gema Imar (MMGI), Kamari Kasan berkata, reformasi tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kelompok politik, sebaliknya perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, masih ada ruang untuk menghidupkan semula agenda reformasi yang lebih segar, inklusif dan mempunyai hala tuju yang jelas.
“Reformasi perlu diperluaskan. Ia bukan sekadar melibatkan ahli politik, tetapi wajib merangkumi NGO, aktivis, institusi strategik dan masyarakat.
“Masih ada masa untuk menghidupkan semula reformasi yang segar,” katanya dalam kenyataan bertajuk Kerajaan Perpaduan: Sebuah Model Keluarga Besar.
Kamari berkata, antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini adalah kehilangan ‘roh reformasi’ selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya, apabila pasukan yang membawa agenda tersebut sebelum ini dilihat tidak lagi mempunyai semangat dan arah tuju yang sama.
Katanya, mengurus kemenangan sebenarnya lebih berat berbanding memenanginya, namun pasukan baharu untuk menggerakkan agenda reformasi selepas kemenangan tidak dibina.
Dalam pada itu, beliau berpandangan gagasan Malaysia Madani juga perlu dihayati secara lebih menyeluruh kerana konsep tersebut sepatutnya bersifat inklusif, mampan dan berteraskan ihsan.
“Madani mesti inklusif dan mampan, lahir daripada ihsan. Tetapi ia masih belum menjadi panduan tindakan dan semakin kabur,” katanya.
Menurut Kamari, isu rakyat juga perlu kembali menjadi teras kepada agenda reformasi dengan membawa kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang atau analisis SWOT ke hadapan.
Beliau mendakwa PH gagal menterjemahkan isu berkenaan kepada naratif baharu, manakala rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan pula berjaya membawa naratif yang lebih dekat dengan hati orang Melayu.
Katanya, perpecahan Melayu dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini turut menyebabkan penghargaan terhadap rekod kejayaan kerajaan menjadi berkurangan.
“Konsep ‘Rumah Besar’ ibarat jaring yang mengikat banyak pihak dan perlu disusun dengan teratur sebagai satu bentuk reformasi,” katanya.
Kamari turut berpandangan Kerajaan Perpaduan masih belum dipasarkan dengan baik kepada rakyat walaupun Perdana Menteri sudah memulakannya.
“Perdana Menteri sudah memulakan, tetapi penyampaiannya lemah walaupun jentera berada di bawah kuasa sendiri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu Perlembagaan yang didakwa semakin dipinggirkan, termasuk pandangan kritikal dalam MPP PKR dan Amanah yang menurutnya dibiarkan sepi.
Katanya, Perlembagaan seolah-olah hanya diberikan perhatian apabila ia berkaitan dengan soal kuasa, keadaan yang disifatkannya mirip nasib UMNO sebelum ini sehingga menyebabkan rakyat akhirnya berpaling.
Mengenai DAP, Kamari berkata parti itu perlu kembali kepada perlembagaannya dan menyifatkan kepimpinan Anthony Loke ketika ini sebagai lebih berwajah, namun masih perlu memastikan pematuhan terhadap perlembagaan parti.
“Jika DAP kembali taat kepada perlembagaannya, ia berpotensi menjadi aset paling berharga dalam ‘Rumah Besar’ berikutan kekuatan demokrasinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang ringan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan perpaduan.
“Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong. Jangan berjanji di hadapan Baginda tetapi bertelagah di belakang kerana rakyat akhirnya akan kecewa,” katanya.
Kamari turut menggesa Perdana Menteri kembali kepada kekuatan asal gerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada era 1970-an sebagai antara formula yang boleh diangkat dalam membentuk reformasi baharu.
Katanya, pendekatan tersebut wajar dijadikan asas dalam usaha membina perpaduan sejati bangsa Malaysia yang mampu berdiri teguh seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan.
“Maafkan saya sahabat, mungkin terus terang. Namun saya sembahkan ini dengan suci hati dan niat yang ikhlas,” katanya. – DETIK MALAYSIA
