KUALA LUMPUR – Berita yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Bintang perseorangan negara, Lee Zii Jia, secara rasmi mengesahkan akan mengetuai cabaran Malaysia di pentas Piala Thomas 2026 di Denmark.
Lebih manis, keputusan itu hadir bersama satu pengorbanan besar apabila Zii Jia dilaporkan melepaskan bayaran hak imej demi memastikan skuad negara turun dengan barisan terkuat. Tindakan itu sekali gus mengundang rasa hormat tinggi dalam kalangan komuniti badminton tanah air.
Perkembangan ini menyusul selepas pertemuan berprofil tinggi antara Zii Jia dan legenda badminton negara, Lee Chong Wei. Walaupun sebelum ini beliau hanya memberikan jawapan ringkas “no comment”, jelas perbincangan tersebut membuahkan hasil positif.
“Keputusan Zii Jia untuk mengetepikan hak imej mencerminkan komitmen mutlaknya kepada Malaysia,” menurut kenyataan Team LZJ.
Malaysia bukan sekadar menghantar pasukan, tetapi membawa misi besar. Dengan Zii Jia sebagai sandaran utama perseorangan dan gandingan profesional mantap Goh Sze Fei – Nur Izzuddin menguatkan beregu, kem negara kini tampak lebih seimbang dan berbahaya.
Aarhus bakal menjadi medan ujian sebenar. Satu mesej sudah jelas Malaysia datang bukan sekadar mencuba, tetapi untuk memburu kejuaraan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAT