ROM – Tiga kelab gergasi Itali, Inter Milan, Juventus dan Atalanta kini berada di persimpangan getir apabila berdepan misi hidup-mati pada aksi timbal balik playoff menuju pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini.
Ketiga-tiga pasukan itu tewas pada aksi pertama di gelanggang lawan, sekali gus memaksa mereka memburu kebangkitan dramatik di hadapan penyokong sendiri.
Juventus pikul beban berat
Juventus berdepan tugas paling sukar selepas dibelasah Galatasaray 2-5 pada perlawanan pertama. Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu perlu menang sekurang-kurangnya dengan kelebihan tiga gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Lebih membimbangkan, prestasi semasa mereka juga tidak menyebelahi pasukan apabila gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terakhir di semua pertandingan.
Inter tagih magis Meazza
Inter pula perlu memadam defisit agregat 1-3 ketika melayan kunjungan Bodo/Glimt di Stadium Giuseppe Meazza.
Bagaimanapun, wakil Norway itu memberi amaran tidak akan sekadar bertahan. Situasi tersebut boleh membuka ruang buat Inter melancarkan serangan agresif sejak wisel pertama bagi memburu gol awal.
Atalanta tak gentar
Sementara itu, Atalanta ketinggalan 0-2 kepada Borussia Dortmund. Namun, kekalahan di Jerman itu merupakan satu-satunya keputusan negatif mereka dalam lima perlawanan terakhir.
Dengan sokongan padu penyokong sendiri, Atalanta hampir pasti turun dengan pendekatan menyerang habis-habisan demi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.
Aksi Inter menentang Bodo dijadual berlangsung awal pagi Rabu, sebelum Juventus dan Atalanta turun berjuang sehari kemudian. Minggu ini bakal menentukan sama ada maruah bola sepak Itali terus terpelihara di pentas Eropah atau sekadar tinggal kenangan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – REUTERS/Alberto Lingria