KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kekecewaan serta kebimbangan berhubung keputusan membenarkan projek penternakan babi berskala besar di Kuala Langat, termasuk cadangan pemindahannya ke Bukit Tagar.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius apabila Sultan Selangor secara terbuka membangkitkan persoalan kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek yang memberi implikasi besar kepada alam sekitar serta kesihatan awam.
Menurutnya, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) merupakan instrumen teknikal penting di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun pengalaman tadbir urus menunjukkan risiko rasuah jarang berlaku secara langsung pada dokumen EIA semata-mata.
“Sebaliknya, risiko itu wujud sepanjang rantaian kelulusan termasuk pelantikan perunding, penentuan skop kajian, ketelusan data, kelulusan bersyarat tanpa penguatkuasaan berkesan, serta pengaruh politik atau kepentingan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCW tidak membuat tuduhan menyeluruh terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS). Namun, jika isu pencemaran bau, air dan kesihatan awam yang dilaporkan sejak 2010 masih gagal ditangani, sebarang kelulusan baharu sama ada sementara atau kekal wajar dipersoalkan dari sudut integriti dan tadbir urus.
Sehubungan itu, MCW menggesa pelaksanaan audit integriti dan tadbir urus bebas terhadap keseluruhan rantaian kelulusan projek, pendedahan awam penuh laporan EIA, pelan mitigasi serta rekod penguatkuasaan.
Selain itu, MCW turut menuntut pengisytiharan konflik kepentingan oleh semua pihak terlibat serta pelaksanaan moratorium sementara sehingga isu pencemaran lama diselesaikan secara tuntas.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Apabila timbul persoalan rasuah, jawapannya bukan sekadar penjelasan, tetapi semakan yang bebas dan telus,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - JANAA AI