MADRID – Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho tampil dengan kenyataan sinis selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Real Betis dalam aksi Liga Sepanyol, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menjadi yang pertama buat Los Blancos dalam saingan liga musim ini selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Mourinho bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai beberapa insiden penting termasuk kegagalan penyerang sensasi, Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti serta jaringan Carlos Espi yang dibatalkan.
“Saya tidak melihatnya, saya tidak melihatnya secara terperinci. Saya tidak melihatnya di bilik persalinan. Saya tidak boleh memberikan komen mengenai perkara itu,” katanya.
Sebaliknya, pengendali dari Portugal itu mempertahankan prestasi anak buahnya yang menguasai permainan selain menghasilkan 20 percubaan dengan tujuh daripadanya tepat ke sasaran.
“Saya fikir pemain bermain dengan baik. Kadang-kadang anda kalah dan tidak tahu mengapa, kadang-kadang anda kalah dan tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya.
“Kami sangat dominan, dengan pertahanan tengah yang mengawal segala-galanya, kerap melakukan serangan dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Jika perlawanan berakhir seri, kami pasti sangat kecewa kerana kami sudah melakukan banyak perkara. Jadi, bayangkan bagaimana perasaan kami apabila tewas,” katanya seperti dipetik Diario AS.
Mourinho kemudian memberikan reaksi yang lebih pedas ketika mengulas pendekatan Betis sepanjang perlawanan.
“Saya tiada aduan terhadap sikap pemain. Mereka memberikan segala yang mereka mampu. Kami layak menang, tetapi kelayakan itu tidak secara automatik memberikan anda mata.
“Tahniah kepada Betis yang mengintai keputusan seri dan akhirnya mendapat sedikit tuah,” katanya.
Mourinho turut menyentuh insiden seorang pemain Betis yang terjatuh selepas bertembung dengan pemain Madrid, malah menyifatkan situasi itu sebagai sebahagian daripada budaya dan mentaliti pasukan lawan.
“Pada minit pertama, satu hentaman berlaku pada kaki (Federico) Valverde dan dia tetap berdiri. Itu tipikal kapten Real Madrid.
“Tetapi izinkan saya memberikan contoh dari pihak lain. Ada seorang pemain terbaring di hadapan bangku simpanan saya. Saya fikir ambulans akan datang, tetapi akhirnya tiada apa-apa berlaku.
“Itulah. Apabila anda berdepan lawan dengan budaya dan mentaliti seperti itu, ia menjadi faktor yang merugikan anda,” katanya.
Kekalahan tersebut menyaksikan Madrid gagal meneruskan rentak sempurna mereka dalam saingan liga musim ini, manakala Betis meraih kemenangan penting ke atas gergasi Sepanyol itu. – DETIK MALAYSIA
