JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menewaskan DPMM FC 3-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Penyerang naturalisasi negara, Bergson da Silva menjadi watak utama kemenangan Harimau Selatan apabila meledak dua gol pada minit ke-38 dan ke-40.
JDT yang turun dengan gandingan Bergson, Shahab Zahedi, Nahuel Leiva dan Arif Aiman Hanapi bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk memecah kebuntuan.
Gol Bergson pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum keputusan itu diubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pegawai VAR, Mohd Hafizuan Mohd Khair.
Dua minit kemudian, Bergson sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas menerima lorongan Arif Aiman sebelum menewaskan penjaga gol DPMM, Samuel Somerville.
DPMM yang menggunakan formasi 5-4-1 pada babak pertama cuba bertahan secara berdisiplin bagi menyerap tekanan JDT.
Pasukan pelawat turut menyangka mereka dibolosi buat kali ketiga pada penghujung babak pertama, namun jaringan tersebut tidak dikira dan JDT membawa kelebihan 2-0 ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, JDT terus meningkatkan tekanan bagi menambah jaringan, manakala DPMM cuba memperkemaskan benteng pertahanan.
Ketua pertahanan DPMM, Nick Swirad bekerja keras mengekang asakan tuan rumah sebelum JDT melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menambah kreativiti di bahagian serangan.
Jurulatih JDT, Xisco Munoz memasukkan Stoichkov, Nacho Mendez dan kemudiannya Jairo da Silva dalam usaha mencari gol tambahan.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Jairo da Silva, atau Juan Diego Molina Martinez, meledak gol pertamanya untuk JDT pada minit ke-77.
DPMM turut memasukkan Farris Izdiham Awang Kechik dan Jordan Murray untuk memburu gol, namun gagal memecahkan pertahanan JDT.
Keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan JDT mengumpul 12 mata untuk terus berada di puncak Liga Super.
JDT selepas ini akan menentang Negeri Sembilan FC pada 11 September, manakala DPMM dijadual berdepan Sabah FC dalam aksi setempat Borneo di Stadium Likas pada 13 September. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
