PETALING JAYA – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan bawah Blok 11, Desa Mentari 3, di sini, Rabu lalu
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 1.04 pagi Rabu.
"Orang hilang (OH), Nur Natasya Izzaty Mohd Faizol, dipercayai berada di lokasi berkenaan pada sekitar pukul 5.15 petang, 19 November 2025 sebelum dilaporkan tidak pulang.
"OH berbangsa Melayu, mempunyai ketinggian kira-kira 156 sentimeter, berkulit sawo matang, berambut lurus, dan berbadan sederhana," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Noor Khairul, di talian 018-901 8686. - DETIK MALAYSIA