KUALA LIPIS – Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia memaklumkan bahawa Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Pahang berjaya melaksanakan operasi translokasi tiga ekor gajah liar di daerah ini pada 27 November lalu.
Perhilitan dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan melibatkan pemindahan seekor gajah betina dan dua ekor jantan yang dikesan berada berhampiran kawasan penempatan.
Operasi tersebut turut dibantu dua ekor gajah denak, Abot dan Sanum, dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah bagi memastikan proses kawalan serta pemindahan dapat dilakukan dengan selamat.
Seramai kira-kira 20 anggota terlibat dalam operasi itu, merangkumi kakitangan daripada PKGK Kuala Gandah serta jabatan Perhilitan Pahang, Terengganu dan Johor.
“Ketiga-tiga gajah liar tersebut telah dipasang mikrocip dan melalui proses pengukuran morfologi sebelum dibawa ke lokasi sesuai,” kata kenyataan itu.
Jabatan Perhilitan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen mereka menjayakan operasi tersebut. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia
