KUALA LUMPUR – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Chelsea tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan keempat Piala Carabao selepas mencatat kemenangan pada aksi pusingan ketiga awal pagi tadi.
Di Stadium Anfield, Liverpool menundukkan Southampton 2-1 hasil jaringan Alexander Isak dan Hugo Ekitike, manakala pasukan pelawat hanya mampu membalas menerusi gol Shea Charles.
Sementara itu, Chelsea turut mengikut jejak langkah The Reds meskipun dikejutkan gol awal tuan rumah, Lincoln City pada minit ke-42 menerusi Robert Street. Namun, The Blues bangkit pada babak kedua dengan dua gol pantas oleh Tyrique George (48’) dan Facundo Buonanotte (50’) untuk menang 2-1.
Fulham juga berjaya mara selepas menewaskan Cambridge United 1-0 hasil jaringan tunggal Emile Smith Rowe.
Namun, nasib berbeza menimpa dua kelab EPL lain apabila Burnley dan Everton tersingkir. Burnley dikecewakan di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Cardiff City, manakala Everton pula tunduk 0-2 ketika bertandang ke Wolverhampton Wanderers. - DETIK MALAYSIA
Berikut keputusan penuh Piala Carabao pusingan ketiga awal pagi tadi:
Barnsley 0-6 Brighton & Hove Albion
Burnley 1-2 Cardiff City
Fulham 1-0 Cambridge United
Lincoln City 1-2 Chelsea
Wigan 0-2 Wycombe
Wolverhampton 2-0 Everton
Wrexham 2-0 Reading
Liverpool 2-1 Southampton
Foto kredit - Liverpool FC
