KUALA LUMPUR – Malam tadi, kelibat dron masih kelihatan berlegar di atas kapal yang dinaiki kumpulan sukarelawan misi kemanusiaan.
Namun di sebalik situasi tegang itu, kisah peribadi seorang sahabat di atas kapal menjadi pengubat hati.
Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri berkata, kedudukan tidur para sukarelawan telah ditetapkan sejak awal, dan beliau sendiri berkongsi ruang dengan Dr Osman.
“Setiap malam kami tidur di tempat sama, beralaskan tilam angin atau tilam nipis peninggalan tuan kapal lama. Dr Osman biasanya membuka YouTube sebelum melelapkan mata untuk mendengar al-Quran beserta terjemahan atau mengikuti kelas agama dalam bahasa Turki.
“Kadangkala beliau berkongsi bacaan al-Quran daripada qari muda Mesir, Islam Subhi, menggunakan earphone miliknya,” katanya dalam catatan pengalaman di Facebook.
Musa turut mengimbas momen yang tidak dapat dilupakan apabila Dr Osman bercerita tentang pengalamannya membaca al-Quran dengan tergesa-gesa semata-mata mahu segera menamatkan bacaan.
“Namun Allah menemukan beliau dengan Surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud ‘Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil (perlahan-lahan, jelas sebutan dan teratur)’. Ayat itu seolah-olah menegur beliau secara langsung,” katanya.
Sejak itu, jelas Musa, Dr Osman kembali membaca dengan perlahan dan penuh tertib, menjadikan al-Quran sebagai teman utama di kala senggang.
“Subhanallah, saya rasa bersyukur Allah mempertemukan saya dengan orang-orang baik di atas kapal ini. Hampir setiap hari ada sahaja hikmah kecil yang Allah tunjukkan melalui mereka.
“Dalam perjalanan penuh cabaran ini, persahabatan dan peringatan sebegini menjadi bekalan paling berharga. Saya akan merindui pengalaman ini sampai bila-bila,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA
