KANGAR – Program FIFA Women’s Football Campaign 2026 menerusi Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR) kini diteruskan ke venue kelima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad, Perlis.
Program anjuran bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu melibatkan penyertaan 100 murid perempuan serta 20 guru.
Program berkenaan memberi peluang kepada murid untuk mengenali dan merasai sendiri pengalaman bermain bola sepak dalam suasana yang menyeronokkan, aktif dan inklusif.
Majlis penutup program di SMK Dato’ Ali Ahmad disempurnakan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (Sukan), Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Hisyam Abd Latif.
Pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan gadis supaya aktif dalam sukan bola sepak.
Selain itu, program tersebut turut menggalakkan gaya hidup lebih sihat selain membina keyakinan diri, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Setiap penyertaan juga dilihat sebagai langkah ke arah melahirkan lebih ramai gadis yang bukan sahaja aktif dalam sukan, malah berani mengimpikan kejayaan lebih besar dalam bola sepak.
Program FIFA Women’s Football Campaign 2026 seterusnya akan dilangsungkan di SMK Seksyen 11, Shah Alam pada Rabu, 12 Ogos ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
