LIVERPOOL – Legenda Liverpool, Didi Hamann menyifatkan The Reds tidak perlu panik susulan pergerakan mereka yang agak perlahan dalam jendela perpindahan musim panas 2026.
Hamann berkata, Liverpool masih mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pembelian pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.
“Saya tidak akan terlalu bimbang. Masih ada tiga setengah minggu lagi,” katanya kepada Tribal Football.
Setakat ini, Liverpool baru mendapatkan Victor Munoz di bawah kendalian pengurus baharu, Andoni Iraola.
Kelab Merseyside itu turut dikaitkan dengan pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola serta Ibrahim Mbaye, namun belum ada kesepakatan dimuktamadkan bagi kedua-dua pemain berkenaan.
Menurut Hamann, peningkatan prestasi pemain yang gagal mencapai tahap terbaik musim lalu serta kepulangan pemain yang mengalami kecederaan juga boleh memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan seolah-olah mendapat rekrut baharu.
Katanya, beberapa pemain yang kurang menyerlah musim lalu berpotensi memberikan impak besar sekiranya berjaya mempamerkan prestasi lebih baik musim ini.
Beliau secara khusus menyebut Florian Wirtz, Alexander Isak dan Milos Kerkez.
“Jadi, dalam diri Wirtz, Isak dan mungkin juga Kerkez yang sebenarnya tidak bermain terlalu baik, mungkin kita boleh menganggap mereka sebagai tiga pemain baharu kerana mereka tidak benar-benar beraksi dengan baik musim lalu,” katanya.
Selain itu, Hamann berkata Liverpool turut akan mendapat manfaat daripada pemain yang kembali daripada kecederaan.
Giovanni Leoni kini mengalami kecederaan ligamen krusiat, manakala kelab berkenaan masih menantikan kepulangan Hugo Ekitike.
Jangka 3-4 pemain baharu
Hamann menjangkakan aktiviti perpindahan Liverpool akan meningkat apabila tarikh tutup semakin hampir.
Dalam masa sama, selepas Mohamed Salah meninggalkan kelab itu pada musim panas ini, masa depan Cody Gakpo juga dikatakan masih belum sepenuhnya jelas.
“Saya cukup yakin akan ada dua, tiga atau empat pemain yang datang ke kelab.
“Kita tahu Liverpool juga pernah melakukan perkara berbeza pada masa lalu. Kadangkala mereka memerlukan masa yang agak lama untuk menyelesaikan perpindahan.
“Saya fikir kita akan melihat beberapa aktiviti. Selepas itu, kita boleh menilai pada penghujung Ogos bagaimana prestasi mereka dalam jendela perpindahan,” katanya.
Harga pemain semakin tinggi
Hamann turut berpandangan keadaan pasaran perpindahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan kelab perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan perbelanjaan besar.
Situasi itu termasuk harga pemain yang semakin meningkat, dengan Barcola dilaporkan mempunyai tanda harga sehingga £145 juta (RM778 juta).
Justeru, Hamann menganggap Liverpool tidak perlu memaksa diri untuk mendapatkan pemain sekiranya harga yang diminta terlalu tinggi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo
