JAKARTA – Indonesia bakal menjadi tuan rumah FIFA ASEAN Cup 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 September hingga 3 Oktober depan.
Kejohanan baharu itu akan berlangsung di dua lokasi iaitu Jakarta dan Jawa Barat.
Kepastian mengenai lokasi penganjuran itu diperoleh menerusi mesyuarat bersepadu pertama yang diadakan Kementerian Pemuda dan Sukan (Kemenpora) hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri beberapa agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Polis Republik Indonesia serta Komdigi.
Turut hadir ialah Ketua Dinas Pemuda dan Sukan (Kadispora) DKI Jakarta, Andriansyah dan Setiausaha Daerah Jawa Barat, Herman Suryatman.
FIFA ASEAN Cup 2026 akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno dan Stadium Si Jalak Harupat, Soreang, Bandung.
Menteri Pemuda dan Sukan, Erick Thohir berkata, kerajaan Presiden Indonesia memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran kejohanan berkenaan.
“Alhamdulillah hari ini kita sudah melakukan mesyuarat bersepadu, kerajaan Bapak Presiden menyokong penuh acara ini.
“Bapak Presiden mengharapkan acara-acara besar seperti FIFA ASEAN Cup 2026 dapat terus diadakan di Indonesia bukan sahaja ketika ini, tetapi juga pada tahun-tahun akan datang.
“Bapak Presiden percaya sukan bukan sahaja sebagai alat penyatuan bangsa, malah menjadi medium untuk menyebarkan kebaikan bangsa kita ke seluruh dunia,” katanya.
Menurutnya, penganjuran FIFA ASEAN Cup 2026 turut menjadi sejarah buat Indonesia kerana ia merupakan kejohanan FIFA ASEAN pertama yang dianjurkan di negara berkenaan.
“Ini akan menjadi sejarah buat bangsa kita kerana FIFA ASEAN yang pertama kali digulirkan di Indonesia.
“Seperti juga kalau kita ingat kejuaraan Piala Dunia pada 1930-an yang pernah berlangsung di tempat lain, ini yang pertama buat kita dari segi sejarah,” katanya.
Peserta tunggu pengumuman FIFA
Dalam pada itu, Erick berkata mesyuarat bersepadu tersebut diadakan bagi memastikan Jakarta dan Jawa Barat bersedia menganjurkan FIFA ASEAN Cup 2026 dengan jayanya.
Katanya, Presiden Indonesia turut mengeluarkan surat jaminan kerajaan yang dihantar terus kepada FIFA.
“FIFA, alhamdulillah, sudah menjawab bahawa kita menjadi tuan rumah.
“Sekarang masih ada sedikit rundingan mengenai kontrak tuan rumah, termasuk kandungannya.
“Namun, kandungan kontrak tuan rumah tidak jauh berbeza dengan ketika kita menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun dan Bawah 17 Tahun. Jadi tidak banyak perbezaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata senarai pasukan yang akan beraksi dalam kejohanan berkenaan masih menunggu pengumuman rasmi daripada FIFA.
“Peserta kita tunggu FIFA kerana sehingga malam tadi kita masih menunggu slot pertandingan.
“Mudah-mudahan dalam tempoh satu hingga dua hari ini ia dapat diumumkan terus oleh FIFA,” katanya. – DETIK MALAYSIA
