TANJONG MALIM – Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan Icon Award 2026 sempena Outdoors Expo Malaysia (OXM) 2026.
Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan, pendidikan dan pembangunan komuniti outdoor di Malaysia.
Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menerusi satu hantaran di Facebook melahirkan rasa syukur dan rendah hati menerima anugerah berkenaan yang disifatkan sebagai satu penghargaan serta amanah.
Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan semata-mata mengenai dirinya, sebaliknya hasil perjalanan, sokongan insan yang bersama-sama serta usaha dalam membina manusia menerusi alam dan pengalaman.
“Outdoor mengajar kita bahawa alam adalah guru, perjalanan adalah pembelajaran, dan setiap cabaran membentuk kepimpinan serta ketahanan diri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan berikrar untuk terus berbakti, mendidik serta membangunkan komuniti outdoor yang lebih kukuh dan bermakna.
“Bukan sekadar meninggalkan jejak di alam, tetapi meninggalkan jejak yang baik dalam kehidupan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
