KUALA TERENGGANU – Selepas lebih dua dekad menjadi pusat pendidikan dan pembudayaan sains, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) kini turut menerima pengiktirafan daripada industri pelancongan apabila dinobatkan sebagai Best STEM Edutainment Centre pada Anugerah Industri Pelancongan 2026.
Anugerah anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) itu diterima PSKT pada Ahad lalu, sekali gus memberi pengiktirafan terhadap pendekatan pendidikan sains berasaskan pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pengiktirafan berkenaan memberi nilai tambah kepada peranan PSKT yang selama ini lebih dikenali sebagai institusi pendidikan dan pembudayaan sains.


“Usaha keras selama ini yang sentiasa meletakkan jumlah kehadiran pengunjung ke PSKT menjadi penanda aras untuk institusi awam ini kekal relevan sehingga kini walaupun dalam bidang pendidikan sains kini mempunyai pelbagai pilihan atau platform untuk diterima oleh masyarakat.
“Sudah tentu anugerah ini memberi tambah nilai dan penghormatan kepada PSKT itu sendiri di mana kini tanggungjawab kami bukan hanya sebagai entiti di dalam pendidikan dan pembudayaan sains malah diiktiraf sebagai salah satu pemain industri pelancongan yang boleh diangkat ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.
Dalam pada itu, PSKT turut mencatat perkembangan positif dari segi jumlah pengunjung menerusi penganjuran Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur pada Julai lalu.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menjadikan PSKT sebagai tuan rumah buat kali keempat berturut-turut dan merekodkan 20,419 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh empat tahun penganjuran, selain melepasi sasaran awal 15,000 pengunjung.
PSKT dilancarkan pada Mac 2005 dan pada peringkat awal beroperasi di Terengganu Trade Centre (TTC), sebelum berpindah ke Kampung Laut, Kuala Terengganu dan beroperasi sepenuhnya di fasiliti sendiri pada April 2016.
Pengiktirafan yang diterima itu turut memberi ruang kepada PSKT untuk diketengahkan dalam sektor pelancongan, khususnya menerusi pendekatan STEM edutainment, selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
