KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Selangor semalam
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.36 petang pada usia 63 tahun.
“Salam takziah buat seluruh keluarga. Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham dijadualkan disolatkan di sebuah surau di Seksyen 13, Shah Alam hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Rosman pernah menerajui FAS sebagai Setiausaha Agung dari 2013 hingga 2018.
Pada Ogos 2023, Allahyarham dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM selain pernah menganggotai Jawatankuasa Futsal badan induk bola sepak negara itu.
Jawatan terakhir disandang Rosman ialah Pengurus Unit Infrastruktur dan Pengurusan Fasiliti FAM. – DETIK MALAYSIA
