BANGKOK – India meletakkan sasaran besar untuk muncul kuasa utama sepak takraw Asia dengan impian meraih pingat emas pada Sukan Asia 2030.
Ketua Jurulatih India, Sandeep, berkata matlamat itu perlu disokong dengan pembangunan pemain yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal, malah bijak membaca permainan, fleksibel serta mampu menyesuaikan taktikal mengikut situasi.
Sandeep yang menggunakan satu nama berkata, pendekatan moden dalam sepak takraw tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan semata-mata, sebaliknya memerlukan analisis lawan secara terperinci.
“Kita perlu membaca dan memahami lawan dari segi psikologi, fizikal dan mental terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan King’s Cup di Bangkok.
Menurutnya, analisis individu amat penting khususnya ketika berdepan kuasa tradisional seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Katanya, kelemahan pemain lawan perlu dikenal pasti sebelum maklumat itu digunakan untuk menentukan strategi ketika perlawanan.
“Sebagai contoh, jika kita mengenal pasti blocker yang lemah, maklumat itu perlu disampaikan kepada striker supaya serangan boleh diarahkan ke kawasan tersebut.
“Kita menganalisis setiap pemain secara individu sebelum menggunakan maklumat itu ketika permainan,” katanya.
Sandeep, bekas pemain dari Haryana, memulakan karier sebagai pemain sebelum menyertai Sashastra Seema Bal (SSB) pada 2008.
Selepas beberapa tahun beraksi di gelanggang, dia beralih kepada bidang kejurulatihan dan sudah tiga tahun bersama skuad kebangsaan India sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih.
Tekong perlu serba boleh
Dalam pada itu, Sandeep menegaskan seorang tekong moden perlu memiliki lebih daripada satu kelebihan.
Katanya, ketinggian, fleksibiliti, kekuatan otot, kepantasan dan kuasa merupakan antara ciri penting yang perlu ada pada seseorang tekong.
“Pemain mesti serba boleh,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kepelbagaian servis termasuk swing, tapping dan power-pull.
Menurutnya, tiada satu jenis servis yang boleh dianggap paling penting kerana semua teknik mempunyai kegunaan tersendiri mengikut keadaan.
Feeder perlu bijak buat keputusan
Sandeep turut melihat posisi feeder sebagai antara elemen penting dalam sistem permainan India.
Katanya, tugas feeder bukan sekadar menerima bola dan menghantarnya kepada striker, sebaliknya pemain di posisi itu perlu membaca kedudukan blocker lawan sebelum menentukan bentuk hantaran.
“Menerima, membuat hantaran dan membaca blocker semuanya sangat penting dalam tugas feeder,” katanya.
Menurutnya, persefahaman antara feeder dan striker juga penting bagi membolehkan mereka menentukan sama ada serangan perlu dilakukan secara keras, tip, tap atau menggunakan pilihan lain.
Beliau berkata, aspek kecerdasan turut menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan pemain.
Bagi striker, Sandeep mencari pemain yang mempunyai keupayaan melompat, fleksibiliti dan kuasa, selain kebijaksanaan untuk membuat keputusan ketika menyerang.
Feeder pula perlu mempunyai kecerdasan serta kepantasan pergerakan.
India perlu pelbagaikan serangan
Sandeep mengakui India masih mempunyai ruang untuk mempertingkatkan aspek teknikal, terutama dalam melakukan spike, serangan, hantaran dan blocking.
“Kita tidak boleh menang hanya dengan hit, hit, hit,” katanya.
Beliau berkata perkembangan acara Quadrant turut menjadikan persaingan sepak takraw antarabangsa semakin terbuka dengan negara seperti Myanmar, Vietnam, Jepun dan India semakin mampu memberi saingan kepada Thailand serta Malaysia.
“Banyak negara sudah meningkat. Sepak takraw kini sangat kompetitif,” katanya.
Analisis video bantu pemain
Bagi meningkatkan prestasi, Sandeep turut memberi penekanan kepada penggunaan analisis video dan sains sukan.
Katanya, rakaman perlawanan bukan sahaja digunakan jurulatih untuk mengkaji lawan, malah pemain sendiri perlu menonton semula aksi mereka bagi mengenal pasti kelemahan masing-masing.
“Bagi saya, analisis video bukan hanya mengenai mengkaji lawan. Pemain juga perlu melihat rakaman dan memperbaiki kelemahan mereka,” katanya.
Pada masa sama, aspek sains sukan turut diberi perhatian kerana pemain sepak takraw memerlukan tahap fleksibiliti, kemampuan melompat, kekuatan dan kepantasan yang tinggi.
Pertahanan turut jadi keutamaan
Sandeep berkata India juga perlu memperkukuhkan aspek menerima bola dan blocking yang dianggap penting untuk memastikan pasukan lebih seimbang.
Menurutnya, sistem blocking boleh berubah mengikut acara, terutama antara Regu dan Quadrant yang mempunyai perbezaan dari segi kombinasi pemain serta situasi pertahanan.
Katanya, servis dan serangan mungkin menghasilkan mata menarik, namun tanpa penerimaan berkualiti, peluang untuk membina serangan akan terjejas.
Pada masa sama, blocking yang tersusun diperlukan bagi menghalang lawan daripada menguasai permainan.
Mental pemain perlu kuat
Selain aspek teknikal, Sandeep turut menitikberatkan kekuatan mental pemain.
Katanya, setiap pemain mempunyai kelemahan masing-masing dan ada kalanya faktor mental menjadi punca prestasi merosot.
Menurutnya, kekalahan besar boleh menyebabkan seseorang pemain hilang keyakinan dan memberi kesan kepada perlawanan berikutnya.
“Perlawanan itu sudah selesai. Jika kalah, lupakan. Sekarang bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Beliau turut mengambil kira keadaan mental pemain yang mengalami hari kurang baik ketika perlawanan.
Katanya, pemain berkenaan boleh diberikan peluang untuk beraksi beberapa mata sebelum dikeluarkan jika diperlukan, diberi galakan dan direhatkan sebelum dimasukkan semula apabila keyakinannya kembali.
Sokong format 15 mata
Sandeep turut menyambut baik penggunaan format 15 mata dalam tiga set.
Katanya, format itu berbanding set 21 mata dapat membantu pemain mengekalkan stamina, intensiti dan tahap aktiviti sepanjang perlawanan.
Format berkenaan juga menuntut tahap konsentrasi lebih tinggi kerana pasukan mempunyai ruang lebih kecil untuk melakukan kesilapan berpanjangan.
Menurut Sandeep, semua pendekatan tersebut akhirnya menjurus kepada sasaran utama India untuk memburu emas Sukan Asia 2030.
“Cita-cita kami sangat jelas. India mahu memenangi pingat emas Sukan Asia dalam sepak takraw,” katanya.
Beliau percaya sokongan kerajaan India, pendedahan antarabangsa yang berterusan serta peningkatan kualiti kejurulatihan mampu membantu negara itu mencapai sasaran berkenaan.
Pada masa sama, Sandeep berharap sepak takraw suatu hari nanti dapat dipertandingkan di Sukan Olimpik kerana perkembangan itu diyakini akan memberi manfaat kepada semua negara yang terlibat dalam sukan berkenaan.
Buat masa ini, King’s Cup di Bangkok menjadi medan penting buat India untuk terus menimba pengalaman, mengenal pasti kelemahan dan memperkemaskan pendekatan permainan.
Sasaran mereka jelas – emas Sukan Asia 2030. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF
