KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menuntut kerajaan mengambil tindakan segera susulan laporan mengenai dakwaan sisa binaan dari Singapura dibawa masuk ke Johor sebelum dibuang di beberapa lokasi di daerah Pontian.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah pihak yang membenarkan bahan terbabit merentasi sempadan sebelum dibawa menggunakan treler melalui jalan raya dan kampung untuk dibuang atau ditambak di tanah persendirian.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila kegiatan itu didakwa berlaku sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Jika benar sekitar 20 treler memasuki kawasan berkenaan hampir setiap malam seperti didakwa penduduk, ini bukan operasi kecil yang mudah terlepas daripada perhatian pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemandu treler, pemilik tanah atau lokasi pembuangan, sebaliknya perlu meliputi keseluruhan rantaian operasi.
Katanya, ia termasuk sumber sisa di Singapura, syarikat yang menguruskan bahan, syarikat logistik, proses eksport dan import, pemeriksaan sempadan, syarikat penerima di Malaysia, kontraktor, pemilik tanah serta kelulusan penggunaan tanah.
“Kerajaan juga perlu menyiasat pihak yang memperoleh keuntungan daripada setiap muatan yang dibawa masuk,” katanya.
Jangan berlindung di sebalik istilah bahan tambakan
Mohd Azmi berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan status sebenar bahan berkenaan sama ada sisa binaan, bahan kitar semula, agregat terpakai atau bahan tambakan tanah.
“Adakah ia sebenarnya sisa dari negara asing yang dibawa masuk untuk dilupuskan di Malaysia?” katanya.
Menurutnya, klasifikasi bahan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan operasi yang pada hakikatnya merupakan pemindahan sisa dari sebuah negara ke negara lain.
Beliau berkata, sekiranya bahan dibawa masuk berdasarkan deklarasi tertentu tetapi akhirnya dibuang, ditimbus atau diratakan di atas tanah tanpa proses pemulihan atau penggunaan semula yang sah, kerajaan perlu menyiasat sama ada deklarasi berkenaan menggambarkan tujuan sebenar kemasukan bahan itu.
MAPIM mahu SPRM teliti rantaian kelulusan
Dalam pada itu, MAPIM berpandangan isu terbabit wajar diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat asas untuk mengesyaki unsur salah guna kuasa, konflik kepentingan, ketidakpatuhan prosedur atau manfaat tidak wajar.
Mohd Azmi menegaskan, pihaknya tidak menuduh mana-mana individu atau agensi melakukan rasuah.
Namun katanya, apabila operasi rentas sempadan yang didakwa melibatkan konvoi treler dapat berjalan berulang kali dalam tempoh panjang, sedangkan penduduk dilaporkan telah membangkitkan isu itu, keseluruhan proses kelulusan dan penguatkuasaan wajar diperiksa secara bebas.
Antara persoalan yang perlu dijawab ialah pihak yang mengeluarkan permit, pemeriksaan muatan di sempadan, kod dan klasifikasi bahan yang diisytiharkan serta identiti pengimport dan pemilik tapak penerimaan.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu mendedahkan jumlah bahan yang dibawa masuk, nilai transaksi operasi, pihak yang dibayar untuk menerima bahan serta sama ada cukai, levi atau fi berkaitan telah dibayar.
“Dan yang paling penting, siapa sebenarnya yang mendapat keuntungan daripada membawa sisa atau bahan perobohan Singapura ke Malaysia?” katanya.
Dua tahun, berapa banyak sudah masuk?
MAPIM turut menuntut kerajaan mengaudit jumlah keseluruhan bahan yang didakwa telah memasuki Malaysia.
Mohd Azmi berkata, sekiranya kegiatan itu benar-benar berlaku hampir setiap malam dalam tempoh panjang, jumlah kumulatif bahan terbabit berpotensi sangat besar.
Justeru, kerajaan perlu mengeluarkan angka rasmi berdasarkan rekod sempadan, Kastam, permit import, rekod syarikat pengangkutan dan data lokasi penerimaan.
“Jangan biarkan rakyat bergantung kepada anggaran. Kita mahu angka, kita mahu dokumen dan kita mahu penjelasan,” katanya.
Ambil sampel, uji kandungan
Beliau berkata, keselamatan bahan yang dibawa masuk juga perlu diberi perhatian kerana bahan daripada kerja perobohan bangunan lama tidak boleh dianggap selamat secara automatik.
MAPIM menuntut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi teknikal berkaitan mengambil sampel dari setiap lokasi dikenal pasti sebelum analisis makmal bebas dijalankan.
Ujian itu, katanya, perlu menentukan komposisi bahan serta mengenal pasti sama ada terdapat bahan tercemar atau komponen yang memerlukan pengendalian khas.
“Keputusan ujian hendaklah diumumkan kepada penduduk.
“Penduduk yang hidup berhampiran lokasi berkenaan mempunyai hak untuk mengetahui apa yang sebenarnya ditimbus berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.
Siapa bayar kerosakan penduduk?
Dalam perkembangan sama, MAPIM turut meminta laporan penduduk mengenai jalan rosak, habuk, lumpur, batu tercicir, kemalangan motosikal, kerosakan kenderaan, gegaran dan keretakan rumah tidak dipandang ringan.
Menurut Mohd Azmi, jika kerosakan itu dapat dibuktikan berpunca daripada pergerakan kenderaan berat berkaitan operasi berkenaan, pihak yang bertanggungjawab perlu membayar pampasan.
“Jangan biarkan keuntungan diswastakan kepada syarikat tetapi kerosakan dipindahkan kepada rakyat dan kerajaan.
“Jika jalan kampung rosak akibat operasi komersial, rakyat tidak sepatutnya membayar kos pembaikannya melalui wang awam sedangkan pihak tertentu memperoleh keuntungan daripada operasi tersebut,” katanya.
Tubuh pasukan siasatan khas
MAPIM turut mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor menubuhkan Pasukan Siasatan Khas yang melibatkan agensi berkaitan termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi teknikal berkaitan.
Katanya, sekiranya terdapat petunjuk salah guna kuasa atau rasuah, SPRM hendaklah menjalankan siasatan secara bebas.
Antara tujuh tindakan segera yang dituntut MAPIM ialah:
- Menghentikan sementara kemasukan bahan berkenaan sehingga status undang-undang, keselamatan dan kelulusannya disahkan.
- Mengaudit semua permit dan kelulusan berkaitan kemasukan, pengangkutan, penggunaan serta lokasi penerimaan bahan.
- Mendedahkan identiti syarikat yang terlibat tertakluk kepada proses undang-undang dan siasatan yang sah.
- Mengaudit jumlah keseluruhan bahan yang telah memasuki Malaysia sepanjang tempoh operasi.
- Menjalankan ujian makmal bebas terhadap sampel dari semua lokasi pembuangan atau penambakan yang dikenal pasti.
- Menilai kerosakan yang dialami penduduk dan infrastruktur awam serta menentukan pihak bertanggungjawab membayar pampasan dan kos pemulihan.
- Mengumumkan hasil siasatan kepada rakyat termasuk tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Ahli Parlimen diminta bawa isu ke Dewan Rakyat
MAPIM turut menyeru Ahli Parlimen, khususnya wakil rakyat Johor, membawa isu berkenaan ke Parlimen.
Mohd Azmi berkata, kerajaan perlu memberikan jawapan rasmi mengenai jumlah bahan dari Singapura yang telah memasuki Malaysia, klasifikasinya, syarikat yang terlibat, permit dikeluarkan, lokasi penerimaan serta agensi yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan.
Katanya, isu berkenaan mempunyai implikasi lebih luas daripada Pontian kerana kerajaan perlu memastikan Malaysia tidak menjadi destinasi murah bagi sisa pembinaan, perindustrian atau bahan buangan dari negara yang mempunyai kos pelupusan lebih tinggi.
‘Malaysia bukan tapak buangan negara asing’
Mohd Azmi berkata, MAPIM menghormati hubungan Malaysia-Singapura dan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara.
Namun katanya, hubungan baik antara negara tidak bermakna Malaysia perlu menerima kesan alam sekitar daripada pembangunan negara jiran.
“Setiap negara bertanggungjawab mengurus sisa yang dihasilkannya secara selamat, bertanggungjawab dan menurut undang-undang.
“Malaysia tidak boleh menjadi pilihan mudah kerana tanah kita lebih luas, kos lebih murah atau penguatkuasaan dianggap boleh ditembusi,” katanya.
Beliau berkata, jika bahan berkenaan sah untuk diimport dan digunakan semula, kerajaan perlu membuktikannya melalui dokumen dan data.
“Jika ia sebenarnya sisa yang tidak sepatutnya memasuki negara, hentikan serta-merta dan ambil tindakan.
“Jika terdapat kelemahan sistem, perbaiki. Jika terdapat kecuaian, pihak bertanggungjawab mesti menjawab.
“Jika terdapat penyalahgunaan kuasa atau rasuah, dakwa mereka yang terlibat berdasarkan bukti,” katanya.
Menurutnya, sekiranya berlaku kerosakan alam sekitar, pihak yang mendapat keuntungan perlu menanggung kos pemulihan.
“Jangan biarkan Malaysia menjadi halaman belakang tempat negara lain melepaskan beban sisanya.
“Rakyat Pontian berhak mendapat jawapan. Rakyat Malaysia juga berhak mendapat jawapan.
“Malaysia bukan tapak buangan sisa negara asing,” katanya. – DETIK MALAYSIA
