SUNGAI BULOH – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lapan bulan dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar dari kediamannya di Kampung Selamat di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 4.05 petang semalam.
Menurut beliau, laporan dibuat oleh bapa mangsa yang memaklumkan anak lelakinya, Muhammad Razin Rizqi Mohd Rosdi, tiada di rumah sejak pukul 6 pagi, 28 Januari lalu.
“Remaja berkenaan dipercayai keluar dari rumah tanpa memaklumkan ahli keluarga dan sehingga kini masih belum pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, remaja itu memiliki ketinggian kira-kira 150 sentimeter dengan anggaran berat 50 kilogram, berkulit putih serta berambut gaya fringe.
“Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju T-shirt putih jenis round neck dan seluar jeans berwarna biru,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat remaja berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Orang awam boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhamad Rais bin Azmi di talian 016-949 5707,” katanya. – DETIK MALAYSIA