Faiz Samsukhidir
KUALA LUMPUR – Skuad ragbi wanita Bunga Raya Tujuh Sebelah (7s) memilih untuk menjadikan kempen Ragbi Asia 7s Siri 1 di China sebagai medan ujian menjelang Sukan SEA hujung tahun ini.
Pengendali pasukan, Faiz Samsukhidir berkata, kejohanan tersebut akan menjadi pentas terbaik untuk menilai tahap kecergasan serta corak permainan yang telah dirancang sepanjang persiapan.
“Untuk persiapan pasukan wanita, kami kini berada di China bagi menghadapi Siri 1. Ia merupakan pentas ujian pasukan sebelum Sukan Sea hujung tahun nanti.
“Harapan saya semua pemain dapat memberi persembahan terbaik serta menguji tahap kecergasan dan gameplay yang telah kita latih.
“Kali ini saya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, sebaliknya cuba mengekalkan kedudukan dalam Asia 7s Series kerana fokus utama kami adalah persediaan menuju Sukan Sea,” katanya.
Skuad wanita dijangka berdepan cabaran sengit daripada pasukan handalan Asia, namun keyakinan tetap terarah kepada usaha memperkukuh persiapan jangka panjang. – DETIK MALAYSIA