Para peserta Bengkel Profesionalisme Pengurusan Acara dan Media UPSI bergambar kenangan bersama Andy Reza (tengah) pada bengkel berkenaan di Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Oleh Bazli Razak
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kompetensi warga kerja dalam pengurusan acara dan komunikasi media menerusi Bengkel Profesionalisme Pengurusan Acara dan Media UPSI 2026 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.
Bertemakan “Memperkasa Pengurusan Acara dan Pegawai Media Bertaraf Global”, bengkel anjuran Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI itu melibatkan kira-kira 90 kakitangan universiti daripada pelbagai pusat tanggungjawab.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan tadbir urus berkualiti menerusi pembangunan kompetensi warga kerja dalam pelbagai aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.
“UPSI sentiasa komited untuk memperkasakan tadbir urus yang berkualiti dalam pelbagai aspek, termasuk pengurusan acara dan komunikasi korporat, kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk imej serta reputasi universiti.
“Setiap warga UPSI mempunyai peranan dalam memastikan penyampaian maklumat, pengurusan program dan hubungan dengan pihak berkepentingan dilaksanakan secara profesional, terancang dan berintegriti.

Beliau berkata dalam persekitaran komunikasi yang semakin pantas dan dinamik, warga universiti perlu memiliki keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan media serta teknologi digital bagi memastikan penyampaian maklumat universiti kekal relevan dan berkesan.
“Pengurusan acara pada masa kini bukan sekadar memastikan sesuatu program berjalan lancar, tetapi turut melibatkan aspek perancangan strategik, pengurusan pengalaman tetamu, komunikasi, penjenamaan dan penyampaian mesej universiti kepada masyarakat,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah BKK UPSI Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril berkata bengkel berkenaan dirangka bagi memperkukuh kompetensi peserta dalam pengurusan acara, penghasilan kandungan media yang kreatif dan strategik serta penggunaan platform digital.
“Dalam landskap komunikasi yang semakin dinamik, pengurusan acara dan media tidak lagi boleh dilihat sebagai tugas sampingan, sebaliknya memerlukan kemahiran, perancangan strategik dan tahap profesionalisme yang tinggi.
“Setiap acara yang dianjurkan universiti bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan teratur, malah menjadi platform untuk membina imej dan reputasi UPSI. Begitu juga kandungan media yang dihasilkan perlu mampu menyampaikan mesej universiti secara tepat, kreatif dan mempunyai nilai kepada masyarakat.
Beliau berkata peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Event Executive, U-Media dan Media Baharu bagi membolehkan latihan dan perkongsian ilmu dilaksanakan secara lebih berfokus mengikut bidang tugas serta keperluan komunikasi semasa.
“Ketiga-tiga kelompok ini saling melengkapi. Pengurusan acara yang profesional perlu bergerak seiring dengan pengurusan media dan penghasilan kandungan digital yang strategik bagi memastikan setiap program universiti bukan sahaja berjaya dari aspek pelaksanaan, tetapi turut mempunyai impak komunikasi yang kukuh,” katanya.
Antara penceramah yang berkongsi kepakaran pada bengkel itu ialah Personaliti RTM, Andy Reza Rohadian Khairul Anwar yang menyampaikan perkongsian berkaitan profesionalisme pengurusan acara dan pengurusan media, manakala Editor Malaysia Gazette Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said turut berkongsi mengenai penulisan berita melalui Kecerdasan Buatan
(AI). – DETIK MALAYSIA
