Wanita maut, empat lelaki selamat dalam nahas tiga kereta di Karak
KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala empat lelaki terselamat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Lebuh Raya Karak, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada pukul 2 pagi.
“Sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer dan tiba pada pukul 2.20 pagi.
“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah Perodua Ativa, Perodua Myvi dan Honda City,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa yang maut merupakan seorang wanita berusia 19 tahun yang terperangkap di dalam kereta Honda City.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.32 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Empat lagi mangsa terdiri daripada lelaki berusia lingkungan 20-an terselamat,” jelasnya.
Operasi diketuai PBK II KUP Izani Mohd. Zain itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.48 pagi. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Bomba Selangor