KUALA LUMPUR – Seorang warga emas warga China, Ji Hong Xin, 78, hilang selepas terpisah daripada keluarganya di sekitar Stesen MRT Maluri di sini pada 3 September lalu.
Lebih membimbangkan, warga emas berkenaan masih belum ditemui selepas seminggu dilaporkan hilang.
Susulan itu, keluarga mangsa mendapatkan bantuan Persatuan Saling Membantu Malaysia-China bagi memperluaskan usaha pencarian dengan kerjasama orang ramai.
Presiden persatuan berkenaan, Yu Jia Fu bersama Penasihat, Datuk Seri Zhang Tian Chai turut bertemu keluarga mangsa semalam bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian.
Menurut keluarga, Ji Hong Xin dipercayai terpisah daripada mereka kira-kira pukul 12 tengah hari di sekitar Stesen MRT Maluri.
Mangsa tidak fasih berbahasa Inggeris dan Melayu selain tidak membawa telefon bimbit, dokumen pengenalan diri serta hanya mempunyai kira-kira RM50.
Keluarga turut memaklumkan mangsa mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan penyakit mata serta tidak membawa ubat yang diperlukan ketika keluar.
Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju-T lengan pendek berwarna merah dengan jalur kuning serta tulisan “Dik Kah Hui”, seluar pendek berwarna kuning cair dan selipar hitam.
Dia turut memakai beg pinggang berwarna gelap.
Yu Jia Fu dan Zhang Tian Chai menyeru orang ramai, khususnya penduduk, peniaga serta pengguna pengangkutan awam di kawasan Maluri, Cheras dan sekitarnya supaya membantu memerhatikan sekiranya ternampak warga emas berkenaan.
Orang ramai yang terserempak dengan individu dipercayai mangsa dinasihatkan supaya tidak mengejutkan atau membawa mangsa secara paksa, sebaliknya cuba mendapatkan pengesahan identiti dengan baik sebelum menghubungi pihak polis atau keluarga. – DETIK MALAYSIA
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada:
Yang Xiu Qiong: 019-391 6668
Bahagian Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA: 03-2203 3888
