JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menjangkakan aksi sukar menentang Pohang Steelers dalam usaha memburu kemenangan pertama pada peringkat liga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/2027 di Stadium Pohang Steelyard, Korea Selatan malam ini.
Pertembungan hari kedua itu dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang waktu Malaysia, dengan kedua-dua pasukan masih mencari kemenangan pertama selepas gagal meraih keputusan positif dalam aksi pembukaan.
JDT terikat 1-1 dengan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada 15 September lalu, manakala Pohang tewas 1-3 kepada Beijing Guoan di tempat lawan.
Xisco berkata, anak buahnya perlu bersedia menghadapi cabaran sengit daripada pasukan tuan rumah, terutama kepantasan pemain lawan ketika melakukan serangan menerusi bahagian sayap.
“Kami tahu ini perlawanan sukar kerana kami memahami cara mereka bermain. Kami akan memberikan segala-galanya dalam setiap fasa permainan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan.
Menurutnya, Pohang tetap sebuah pasukan yang kuat dari segi fizikal dan memiliki kepantasan tinggi meskipun sedang bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik ketika ini.
Katanya, perlawanan selama 90 minit itu menuntut tahap kecergasan tinggi kerana kedua-dua pasukan perlu memenangi pertarungan individu di atas padang.
Pemain JDT, Dejan Petrovic turut mengakui perlawanan berkenaan bukan tugas mudah, namun skuad Harimau Selatan akan berusaha membawa pulang keputusan positif.
“Kami tahu betapa penting dan sukarnya perlawanan esok. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Petrovic berkata, pasukan kecewa selepas gagal meraih tiga mata penuh ketika menentang Buriram, namun kini memberi tumpuan untuk mempamerkan aksi lebih baik menentang wakil Korea Selatan itu.
Jelasnya, JDT sudah menganalisis corak permainan Pohang yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan permainan pantas bagi memastikan lawan tidak mempunyai banyak ruang untuk melancarkan serangan.
Pohang menamatkan saingan Liga K 1 di tempat keempat musim lalu, namun bergelut mencari konsistensi musim ini apabila berada di tangga kesembilan dengan 40 mata.
Kekalahan 0-3 kepada Incheon United pada 9 Oktober lalu menyaksikan Pohang hanya merekodkan satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan kepada Beijing Guoan dalam aksi pembukaan ACLE.
Bagaimanapun, JDT mempunyai rekod pertemuan lebih baik selepas membelasah Pohang 5-2 di Stadium Sultan Ibrahim pada Februari 2025, sekali gus menamatkan kempen wakil Korea Selatan itu pada peringkat liga musim berkenaan.
Musim lalu, JDT turut mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama mara ke suku akhir ACLE sebelum tewas kepada Al-Ahli.
Dalam perkembangan berkaitan, Xisco turut menuntut anak buahnya lebih tajam di hadapan gawang bagi memastikan peluang yang terhidang dapat diterjemahkan kepada jaringan.
JDT berlepas ke Korea Selatan selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA dengan kemenangan agregat 11-3 ke atas Penang FC.
Pemain muda, Daniesh Amirruddin turut disenaraikan dalam rombongan pasukan ke Korea Selatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
