SEBERANG TAKIR – Koperasi HTK memperkukuh usaha mempromosikan sektor pelancongan Terengganu ke pasaran antarabangsa menerusi penganjuran program Fam Trip Terengganu Darul Iman 2026 pada 26 hingga 29 Oktober ini.
Program itu bakal menghimpunkan 47 delegasi terdiri daripada pengamal media, wakil universiti, agensi pelancongan dan pencipta kandungan TikTok dari beberapa negara bagi memperkenalkan tarikan pelancongan, produk warisan serta keunikan budaya negeri berkenaan.
Persiapan program dibincangkan dalam mesyuarat akhir yang diadakan di Quinara Al Safir Resort, Seberang Takir, dengan kehadiran wakil agensi kerajaan, pemain industri pelancongan dan rakan strategik Koperasi HTK.
Antara yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TTI Management Bhd., Pengarah Muzium Terengganu, Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), wakil Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu serta Pengerusi ANGKASA Terengganu.
Turut hadir wakil Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif Quinara Al Safir, NoorArfa Craft Centre (NACC), tiga agensi pelancongan Terengganu, Setiausaha Homestay Negeri, IKMA Terengganu dan pihak pengurusan HTK.
Majlis perasmian program itu akan disempurnakan oleh Pengarah Tourism Terengganu.
Seramai 47 delegasi dari Aceh Barat, Sumatera Barat, Jakarta Timur, Jakarta Barat, Yogyakarta, Jawa Timur, selatan Thailand, Timor-Leste, Makassar di Sulawesi Selatan dan Singapura telah memberikan komitmen untuk menyertai program berkenaan.
Menerusi mesyuarat itu, beberapa lokasi pelancongan dan produk tempatan dipilih sebagai destinasi lawatan promosi, antaranya TTI, NACC, Muzium Terengganu, Kampung Budaya, PSKT, Drawbridge, Pasar Payang, Rashid Batik dan Keropok Mazlan.
Semua delegasi dijadual menginap di homestay dan Kg Stay Teluk Ketapang bagi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman penginapan serta kehidupan masyarakat setempat.
Bagi menyemarakkan kempen pelancongan, setiap delegasi dan urus setia turut akan menerima baju-T promosi Visit Malaysia 2026-2027 dan Visit Truly Terengganu.
Koperasi HTK turut merakamkan penghargaan kepada TTI Management Bhd. atas penganjuran makan malam River Cruise, manakala Quinara Al Safir menyediakan dewan bagi majlis perasmian dan sesi promosi bersama delegasi.
Penghargaan turut diberikan kepada IKMA atas tajaan bas bagi perjalanan pergi dan balik dari KLIA2 ke Terengganu serta pengangkutan sepanjang program berlangsung.
Penganjuran Fam Trip Terengganu Darul Iman 2026 itu menjadi platform Koperasi HTK menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik dan pemain industri bagi memperluas promosi pelancongan Terengganu kepada pasaran serantau serta antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
