KUALA KUBU BHARU – Seorang lelaki berusia 21 tahun ditemukan maut selepas dilaporkan lemas ketika mandi-manda di kawasan Air Luit, Pertak Campsite, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.47 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer.
“Sebaik tiba pada pukul 10.08 pagi, pasukan mendapati terdapat seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai telah lemas dan tidak timbul semasa melakukan aktiviti mandi-manda.
“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan Unit Khas Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam, KLIA dan Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya dijumpai pada pukul 11.45 pagi oleh anggota PPDA pada kedalaman lima meter dan jarak 25 meter dari lokasi dipercayai dia dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya dibawa naik ke tebing dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Bomba